Identiti tiga mangsa nahas di Karak disahkan pelajar UIAM

22 Mei 2026, 9:01 AM
Identiti tiga mangsa nahas di Karak disahkan pelajar UIAM

SHAH ALAM, 22 MEI: Identiti tiga mangsa yang maut dalam nahas di Kilometer 34, Lebuhraya Karak awal pagi tadi dikenal pasti sebagai pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mangsa yang meninggal dunia ialah Adli Hakim Akberdin, 24; Ameer Ashraf Khairul Annuar, 24, dan Afiq Jamal Abdul Nasir, 26.

Seorang lagi mangsa, Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, dilaporkan parah dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Selayang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, keempat-empat sahabat berkenaan menaiki kereta jenis Volkswagen Golf dalam perjalanan dari Genting Highlands menghala ke kampus UIAM di Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa gagal dikawal sebelum merempuh bahagian belakang sebuah treler yang sedang bergerak.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Selayang, manakala seorang lagi parah dan dikejarkan ke Hospital Selayang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Faizal Mohd di talian 019-2696097 atau Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di talian 03-61262222," katanya.

Sementara itu, proses bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa selesai dijalankan di Hospital Selayang kira-kira jam 3 petang tadi.

Jenazah mangsa kini dalam proses diserahkan kepada ahli keluarga dan waris terdekat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.