SHAH ALAM, 22 MEI: Pekerja kebun direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas disyaki merogol anak kandungnya sejak dua bulan lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan.
Reman itu juga membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan termasuk merekodkan keterangan mangsa dan suspek.
Berdasarkan laporan polis, mangsa dipercayai memendam perasaan selama dua bulan sebelum menceritakan kejadian yang dialaminya kepada seorang rakan.
Menurut laporan itu, kejadian didakwa berlaku antara jam 6 petang hingga 7 malam di rumah keluarga terbabit ketika ibu mangsa yang juga warga Vietnam keluar bekerja.
Mangsa mendakwa kali terakhir dirogol suspek pada 9 Mei lalu.
Sebelum itu, mangsa turut mendakwa pernah dirogol lelaki berkenaan pada Mac lalu ketika ibunya pulang ke negara asal.
Susulan kejadian itu, mangsa ditemani gurunya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Doktor yang merawat mangsa kemudian membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mendakwa melakukan perbuatan terbabit dalam keadaan mabuk.








