SHAH ALAM, 22 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan sepenuhnya siasatan kes dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang guru terhadap murid Tahun Enam di sebuah sekolah di Johor kepada polis.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata guru yang terlibat turut direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan pihak berkuasa.
Beliau menegaskan KPM tidak akan berkompromi dalam sebarang kes melibatkan gangguan seksual terhadap pelajar.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil alih kes ini sepenuhnya. Individu terbabit sudah ditahan oleh pihak berkuasa.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah melindungi anak ini. KPM akan teruskan siasatan dalaman," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina menggesa masyarakat tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang kes berkaitan kesalahan seksual.
Beliau berkata tindakan segera perlu diambil terutama apabila kes melibatkan mangsa kanak-kanak.
"Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk terus mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang guru terhadap murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di Seri Alam, Johor.
Bekas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh dilaporkan mendakwa guru besar sekolah terbabit sudah membuat dua laporan polis bagi mendesak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengambil tindakan tegas terhadap guru berusia 28 tahun itu.
Menurutnya, guru terbabit pernah dipindahkan sementara ke PPD selama tiga bulan sebelum dibenarkan kembali mengajar pada sesi persekolahan tahun ini.








