SHAH ALAM, 22 MEI: Seorang guru ditahan bagi membantu siasatan dakwaan kes cabul melibatkan seorang murid perempuan di Seri Alam, Johor yang tular di media sosial semalam.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata pihaknya mengesan satu hantaran dimuat naik menerusi Facebook yang mendakwa kejadian itu berlaku pada September tahun lalu.
Menurutnya, hantaran berkenaan mendakwa kejadian itu melibatkan seorang guru lelaki berusia lingkungan 20-an dan murid perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun.
Kes itu dipercayai terbongkar selepas murid terbabit didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap murid lain sebelum pihak sekolah menjalankan siasatan dalaman.
Hasil siasatan itu, kanak-kanak berkenaan didakwa mengaku pernah melakukan hubungan seksual dengan guru terbabit.
Susulan dakwaan tular itu, Chuan Huat berkata polis menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 37 tahun kira-kira jam 9 malam tadi.
"Pengadu memaklumkan kejadian cabul itu dipercayai berlaku sekitar 2025 di kawasan Seri Alam. Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan seorang suspek.
"Lelaki tempatan itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam tadi bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Katanya, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru hari ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan polis.





