Motosikal bertembung van, pelajar Tingkatan Enam maut

22 Mei 2026, 1:42 AM
Motosikal bertembung van, pelajar Tingkatan Enam maut

SHAH ALAM, 22 MEI: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Enam maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah van di Jalan Kampung Tengah, Sabak Bernam, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 19 tahun yang menuntut di Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata kemalangan membabitkan motosikal Honda RS150, Yamaha 135LC dan van Ford Econovan.

"Kejadian apabila Honda RS150 melanggar bahagian belakang Yamaha 135LC yang ketika itu sedang memperlahankan kenderaannya untuk masuk ke simpang kiri jalan.

"Impak pelanggaran menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Ford Econovan," katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Md Yusof turut menyeru saksi kejadian agar tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 bagi membantu siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.