SHAH ALAM, 21 MEI: Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) berisiko memperluaskan jurang gender di Malaysia apabila wanita dilihat lebih terdedah kepada kehilangan pekerjaan, khususnya dalam sektor yang mudah dipengaruhi automasi.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata wanita masih berdepan kekangan struktur dalam akses kepada teknologi, pembangunan kemahiran digital serta penglibatan dalam ekosistem AI.
Menurutnya, kajian global menunjukkan wanita menerima kesan tidak seimbang akibat automasi dan penstrukturan semula tempat kerja yang dipacu AI.
“Apabila AI dan ketidaktentuan ekonomi global semakin pesat, wanita selalunya menjadi kumpulan pertama yang terkesan.
“Pekerjaan melibatkan tugas perkeranian, sokongan dan rutin yang kebanyakannya diceburi wanita lebih terdedah kepada automasi,” katanya ketika berucap pada sesi meja bulat ketiga bertemakan Wanita dan AI – Membangun Daya Tahan dalam Era Digital sempena Forum Tinjauan Gender di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Merujuk Laporan Jurang Gender Global 2025, beliau berkata kadar kesaksamaan gender global ketika ini hanya berada pada tahap 68.8 peratus dengan dunia dijangka mengambil lebih 120 tahun untuk mencapai kesaksamaan gender sepenuhnya.
“Secara mudah, jika 10 lelaki berjaya mendapat pekerjaan, hanya kira-kira enam daripada 10 wanita mampu memperoleh pekerjaan disebabkan ketidaksamaan akses kepada teknologi, kemahiran dan peluang,” katanya.
Data Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pula menunjukkan hampir 29 peratus pekerjaan dalam sektor yang didominasi wanita berisiko digantikan automasi.

“Jika majikan terpaksa memilih siapa yang mahu dikekalkan ketika penstrukturan semula akibat automasi, lelaki sering dianggap lebih mudah menyesuaikan diri dan diserap ke pekerjaan lain, manakala wanita pula yang dilepaskan,” katanya.
Anfaal turut merujuk dapatan Brookings Institution yang mendapati pekerjaan paling terdedah kepada gangguan AI banyak didominasi wanita terutama dalam fungsi pentadbiran dan sokongan.
Katanya, wanita juga terus memikul beban kerja penjagaan tanpa bayaran yang tidak seimbang sekali gus mengehadkan keupayaan mereka menyertai keusahawanan digital dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Wanita menghadapi beban berganda. Mereka dijangka bekerja sambil memikul tanggungjawab penjagaan tanpa bayaran di rumah.
“Dalam keadaan ekonomi global semasa, wanita antara kumpulan paling berisiko tercicir. Sebab itu transformasi digital tidak boleh berlaku tanpa melibatkan wanita dalam proses tersebut,” katanya.
Beliau turut menegaskan wanita masih kurang diwakili dalam bidang penyelidikan dan pembangunan termasuk dalam reka bentuk serta tadbir urus sistem AI beretika.
Merujuk kajian UNESCO menerusi inisiatif Wanita untuk AI Beretika, beliau berkata kekurangan penglibatan wanita dalam pembangunan AI boleh menyebabkan teknologi itu terus dipengaruhi stereotaip dan pandangan berat sebelah terhadap gender.
“Sistem AI sering dibangunkan berdasarkan andaian umum bahawa semua orang adalah sama, sedangkan lelaki dan wanita mungkin mempunyai keperluan dan pengalaman hidup yang berbeza,” katanya.
Justeru, beliau berkata data berasaskan gender diperlukan bagi memastikan sistem AI dibangunkan secara lebih adil dan inklusif.
“Kebimbangan bahawa sistem AI boleh mengukuhkan stereotaip memang wujud dan perlu ditangani secara serius. Kita perlu menjauhi andaian bahawa lelaki dan wanita mesti berperanan dengan cara tertentu,” katanya.
Program itu dianjurkan Wanita Berdaya Selangor bagi membincangkan kesan transformasi digital pesat terhadap wanita dan merupakan siri ketiga daripada lima sesi perbincangan menjelang Forum Tinjauan Gender tahun ini.









