Program Transformasi Peniaga Kecil Selangor (TABS) bantu kembang kemahiran, pasaran

21 Mei 2026, 12:00 PM
Program Transformasi Peniaga Kecil Selangor (TABS) bantu kembang kemahiran, pasaran

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Negeri melancarkan Program Transformasi Peniaga Kecil Selangor (TABS) bagi menyediakan latihan dan bimbingan kepada usahawan yang menerima bantuan peralatan perniagaan.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata inisiatif itu bertujuan membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan dan tidak hanya tertumpu kepada pemberian peralatan semata-mata.

Katanya, penerima bantuan turut diberi akses kepada kursus, mentor serta panduan perniagaan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.

“Penerima di bawah inisiatif seperti program bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor dan i-SEED sebelum ini menerima bantuan dalam bentuk peti sejuk, mesin jahit dan pelbagai peralatan perniagaan lain.

“Bagaimanapun, kini kita mahu memastikan usahawan turut dilengkapi ilmu dan kemahiran diperlukan untuk berkembang. Kita mahu menyediakan latihan, bimbingan, idea dan sokongan perniagaan,” katanya kepada Media Selangor selepas majlis pelancaran TABS hari ini.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bercadang meneruskan program berkenaan setiap tahun.

Menurutnya, aspek pemasaran dan kualiti produk masih menjadi dua cabaran utama usahawan kecil, sekali gus memerlukan strategi pemasaran kukuh dan produk berkualiti tinggi untuk bersaing dalam pasaran semasa.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan pasukan penganjur dipertanggungjawab membantu usahawan memperkukuh pendekatan pemasaran serta meningkatkan kualiti produk supaya mereka mampu bersaing sekurang-kurangnya di peringkat kebangsaan,” katanya.

Berdasarkan helaian fakta program, TABS ialah inisiatif pembangunan keusahawanan secara berfasa yang diperkenalkan tahun ini bagi menyokong Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor menerusi pemerkasaan peniaga kecil, peningkatan pendapatan serta pembinaan kelestarian ekonomi jangka panjang dalam kalangan penerima bantuan negeri.

Program itu menyasarkan usahawan mikro dan kecil yang memperoleh pendapatan kurang RM3,000 sebulan sama ada secara individu atau isi rumah, selain aktif menjalankan perniagaan di Selangor sekurang-kurangnya setahun.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.