SHAH ALAM, 25 MEI: Golongan peniaga dan penjaja mengesan perubahan corak perbelanjaan masyarakat yang semakin menguncup ekoran kesan ekonomi akibat konflik ketegangan di Asia Barat.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) yang mengakui harga barangan meningkat akibat situasi itu berkata orang ramai dilihat berhati-hati berbelanja.
Datuk Seri Rosli Sulaiman menjelaskan peniaga terpaksa mengecilkan operasi harian termasuk mengurang bekalan jualan sehingga 50 peratus berikutan perubahan tingkah laku tersebut.

“Bekalan masih ada di pasaran, namun kita dapat lihat sikap rakyat yang kini lebih berhati-hati dan tidak berbelanja seperti kebiasaan sebelum ini. Keadaan ini memberi kesan langsung kepada peniaga kerana pergerakan jualan semakin perlahan dan permintaan turut menurun.
“Kenaikan harga barangan turut menyebabkan jualan penjaja dan peniaga semakin merosot, memaksa mereka mengubah strategi operasi termasuk mengurangkan kuantiti jualan berbanding sebelum ini,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Rosli, peniaga kini lebih berminat menyediakan menu lebih mudah seperti makanan bergoreng berbanding masakan berkuah kerana lebihannya boleh digunakan semula untuk hidangan lain.
Beliau menjelaskan keadaan tersebut menyebabkan peniaga terpaksa membeli bekalan seperti sayur-sayuran dan ikan lebih awal berbanding biasa ekoran stok pembekal juga tidak menentu.
Rosli percaya situasi pada masa ini hampir menyamai pandemik Covid-19 yang memberi kesan besar kepada seluruh rantaian perniagaan dan memerlukan masa panjang untuk pulih sepenuhnya.
“Mungkin ambil masa lima tahun untuk pulih sepenuhnya. Sebab itu kita harap ada bantuan seperti moratorium enam bulan supaya rakyat boleh berbelanja semula.
“Bila rakyat tidak berbelanja secara kebiasaan, kesannya dirasai seluruh rantaian ekonomi yang bermula daripada pembekal, pemborong, peruncit sehingga kepada peniaga kecil,” katanya.











