SME Corp perkukuh pembiayaan, program 'scale-up' PMKS

20 Mei 2026, 12:30 PM
SME Corp perkukuh pembiayaan, program 'scale-up' PMKS
SME Corp perkukuh pembiayaan, program 'scale-up' PMKS
SME Corp perkukuh pembiayaan, program 'scale-up' PMKS

SHAH ALAM, 20 MEI: SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan memperkukuh bantuan pembiayaan dan program scale-up pada 2026 bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan daya saing serta meluaskan pasaran.

Wakil Bahagian Pembangunan Sektoral dan Adaptasi Teknologinya, Zubaidah Mohamad berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi fokus kepada bantuan pembiayaan, malah merangkumi pembangunan kapasiti, pembangunan perniagaan dan akses pasaran bagi membantu syarikat tempatan memperkukuh operasi serta kelestarian jangka panjang.

Antara program utama yang diketengahkan ialah Prestige 2.0, PKS Bursa, PMKS Access, BRAVE, Skill Up dan Next Level CEO.

Katanya, program berkenaan bertujuan membantu syarikat dari aspek pembiayaan, pembangunan kepimpinan, peningkatan kapasiti serta persediaan memasuki pasaran lebih besar termasuk antarabangsa.

“Beberapa inisiatif pembiayaan menawarkan kemudahan pinjaman mudah dan sokongan dana perniagaan khususnya kepada syarikat milik Bumiputera serta syarikat yang mahu memperkukuh tadbir urus ESG atau bersedia memasuki pasaran modal.

“Prestige 2.0 kini memberi penekanan lebih besar terhadap sokongan pembiayaan, akses pasaran dan pembangunan kapasiti bagi syarikat dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi melalui kerjasama dengan rakan strategik termasuk Funding Societies,” katanya ketika program Invest Selangor Update Series: Insights into the Latest Opportunities for SMEs & MTCs hari ini.

Zubaidah berkata inisiatif pengembangan perniagaan akan terus membantu syarikat melalui geran padanan khususnya bagi perniagaan dalam sektor semikonduktor dan teknologi kesihatan.

Wakil Bahagian Pembangunan Sektoral dan Adaptasi Teknologi SME Corporation Malaysia, Zubaidah Mohamad menyampaikan ucapan ketika program Invest Selangor Update Series: Insights into the Latest Opportunities for SMEs & MTCs di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 20 Mei 2026. Foto KHAIRUL HELMY/Media Selangor

Menurutnya, program Next Level CEO pula memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran pemilik PMKS dan pengurusan kanan syarikat menerusi kerjasama dengan institusi seperti Asia School of Business dan Universiti Harvard.

Beliau berkata kerjasama itu bertujuan bagi memperkukuh kepimpinan, perancangan strategik dan keupayaan perniagaan usahawan tempatan.

Selain itu, SME Corp turut memperluas sokongan kepada usahawan muda dan syarikat pemula niaga menerusi program seperti Tunas Usahawan Belia Bumiputera dan GROWBiz yang memfokuskan pembangunan keusahawanan, latihan dan pengembangan perniagaan.

Sementara itu, inisiatif Global Value Chain dijangka membantu PMKS daripada sektor pertumbuhan tinggi menembusi pasaran antarabangsa menerusi program padanan perniagaan yang dirancang.

“PMKS yang mempunyai status rasmi dan penarafan prestasi kukuh akan mempunyai peluang lebih besar untuk menyertai program eksport dan peluasan pasaran bagi meningkatkan daya saing serta kelestarian,” katanya.

SME Corp Malaysia turut memaklumkan segala pengumuman dan perkembangan berkaitan program serta inisiatifnya akan dikongsi menerusi laman web rasmi dan platform media sosial agensi itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.