Jerebu: Majikan boleh pertimbang bekerja dari rumah tapi bukan untuk semua

28 Ogos 2026, 8:00 AM
Jerebu: Majikan boleh pertimbang bekerja dari rumah tapi bukan untuk semua
Jerebu: Majikan boleh pertimbang bekerja dari rumah tapi bukan untuk semua

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majikan boleh mempertimbangkan pelaksanaan aturan bekerja dari rumah (BDR) bagi pekerja dalam jawatan tidak kritikal sekiranya keadaan jerebu berterusan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata langkah itu bagaimanapun perlu mengambil kira tahap keterukan dan tempoh jerebu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta keperluan operasi setiap pekerjaan.

“Sekiranya jerebu teruk berterusan, MEF menyokong majikan mempertimbangkan BDR bagi pekerja dalam jawatan yang tidak kritikal sekiranya sifat pekerjaan membenarkannya.

“Bagaimanapun, BDR tidak seharusnya dilihat sebagai keperluan wajib secara automatik di seluruh negara,” katanya kepada Media Selangor.

Setakat jam 7 malam semalam, portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan 10 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan IPU tidak sihat, termasuk Johan Setia dengan bacaan 153 dan Shah Alam 127.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman.

Pada Rabu, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin memaklumkan Kerajaan Negeri mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan menerusi JAS susulan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan di Selangor.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mengehadkan aktiviti luar kecuali bagi urusan kerja atau persekolahan, manakala sekolah telah diberikan notis supaya ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah 200.

Sementara itu, Syed Hussain berkata pelaksanaan BDR secara menyeluruh tidak praktikal, terutama bagi sektor yang memerlukan pekerja berada di lokasi.

“MEF tidak menyokong keperluan BDR secara menyeluruh di seluruh negara semata-mata atas faktor jerebu. Sebarang langkah perlu dilaksanakan secara bersasar, sementara dan setimpal dengan tahap sebenar keadaan.

“Sektor pembuatan, pembinaan, kesihatan, logistik, peruncitan, hospitaliti serta aktiviti penting atau barisan hadapan lain tidak boleh begitu sahaja dipindahkan kepada operasi secara dalam talian,” katanya.

Suasana operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memerlukan keseimbangan antara kelangsungan perniagaan dan fleksibiliti aturan bekerja dari rumah ketika jerebu. Gambar janaan AI

Menurutnya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga mungkin berdepan kesukaran lebih besar sekiranya BDR dilaksanakan kerana keterbatasan infrastruktur digital, sumber bagi sistem kerja jarak jauh serta fleksibiliti dalam menyusun semula proses kerja.

Sehubungan itu, beliau menyarankan majikan menjalankan penilaian risiko di tempat kerja, melaraskan jadual serta menyediakan perlindungan sewajarnya kepada pekerja yang perlu terus bertugas di lokasi, khususnya pekerja luar.

“Majikan perlu memastikan perlindungan pernafasan dipilih, dipasang dan digunakan dengan betul. Sekadar mengedarkan pelitup muka tanpa memberi panduan sewajarnya mengenai cara penggunaan dan batas perlindungannya mungkin tidak memberi perlindungan berkesan,” katanya.

Beliau turut menegaskan alat pernafasan setara N95 yang dipasang dengan betul perlu disediakan sekiranya keadaan memerlukannya.

Dalam masa sama, Syed Hussain menggesa majikan tidak menjadikan keadaan jerebu sebagai alasan untuk mengganggu operasi tanpa keperluan kerana kesinambungan perniagaan dan keselamatan pekerja perlu diseimbangkan.

Beliau turut menggesa kerajaan menyediakan panduan jelas mengikut bacaan IPU kepada setiap industri, selain memberi fleksibiliti kepada majikan untuk melindungi pekerja tanpa menjejaskan kegiatan ekonomi, khususnya perniagaan kecil dan perkhidmatan penting.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.