Hajat masuk Politeknik tidak kesampaian, remaja maut nahas tragis

20 Mei 2026, 7:40 AM
Hajat masuk Politeknik tidak kesampaian, remaja maut nahas tragis

SHAH ALAM, 20 MEI: Hasrat seorang remaja untuk menyambung pengajian ke Politeknik dalam bidang automotif berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu semalam.

Mangsa, Wah Han Keong, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada leher apabila van dinaikinya bersama bapa dirempuh sebuah kereta.

Bapanya, Wah Tee Tun, 49, berkata anak sulung daripada dua beradik itu amat meminati bidang automotif dan telah membuat permohonan ke Politeknik melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

Menurutnya, Han Keong memohon untuk melanjutkan pengajian di Politeknik Dungun atau institusi sama di Kota Bharu, Kelantan.

“Keputusan UPU difahamkan akan keluar pada 22 Mei ini dan semua persiapan sudah dilakukan, namun kami reda perancangan untuk melihatnya menyambung pengajian tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di rumah upacara pengebumian di Jalan Syed Zain, Kuala Terengganu hari ini seperti dilapor BH.

Mengulas kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Tee Tun berkata dia bersama anaknya sedang dalam perjalanan ke bandar Kuala Terengganu bagi melakukan kerja pendawaian.

Menurutnya, sebuah kereta dari arah bertentangan yang dipandu laju tiba-tiba terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan merempuh van mereka.

“Kesan rempuhan itu agak kuat menyebabkan sebatang tiang lampu patah dan melayang sebelum menghentam van kami lalu terkena tepat pada leher anak saya.

“Saya cuba panggil dan menggerakkan badan anak saya, tetapi saya dapati kepalanya sudah terputus dan berada di bawah kaki manakala saya lihat badannya tiada kecederaan lain,” katanya.

Tee Tun berkata keluarganya akan mendapatkan khidmat peguam untuk mengambil tindakan undang-undang kerana kemalangan itu bukan berpunca daripada kecuaian mereka.

Katanya, keluarga juga mempunyai rakaman video berkaitan insiden terbabit.

Dalam kejadian itu, Han Keong dan bapanya dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Manir menuju ke pusat bandar sebelum van Nissan Vanette dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah Volkswagen Golf GTI.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.