SHAH ALAM, 20 MEI: Beregu wanita negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan tersingkir pada pusingan pertama Masters Malaysia 2026 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan ranking ke-100 dunia itu tewas straight set 18-21, 12-21 kepada gandingan China, Bao Li Jing-Cao Zi Han dalam aksi selama 38 minit.
Zi Yu-Noraqilah Maisarah yang juga naib juara remaja dunia sebelum ini hadir dengan keyakinan tinggi selepas menampilkan aksi memberangsangkan hingga muncul naib juara Masters China minggu lalu, lapor Berita Harian.
Mengulas aksi itu, pasangan negara mengakui mereka masih mampu memberikan saingan pada set pertama, namun hilang fokus di awal set kedua menjadi titik perubahan perlawanan.
"Saya rasa set pertama kami main okey sebab kami cuba sehabis baik. Set kedua pula kami hilang fokus sedikit, terutama di awal permainan. Pengalaman lawan yang juga juara Terbuka Thailand minggu lalu menjadi faktor utama perbezaan tahap permainan.
"Kami rasa ini bukan soal penat, tetapi lebih kepada tahap permainan. Kami masih belum sampai ke tahap mereka dan banyak perkara perlu diperbaiki," kata Noraqilah selepas perlawanan.
Untuk rekod, minggu lalu Li Jing-Zhi Han yang juga beregu ke-144 dunia muncul juara Terbuka Thailand walaupun gandingan baru dibentuk, manakala Zi Yu-Noraqilah pula beraksi cemerlang sebelum tewas di final Masters China.








