Jemaah haji diingat kurangkan aktiviti luar susulan cuaca panas

20 Mei 2026, 2:51 AM
Jemaah haji diingat kurangkan aktiviti luar susulan cuaca panas
Jemaah haji diingat kurangkan aktiviti luar susulan cuaca panas
Jemaah haji diingat kurangkan aktiviti luar susulan cuaca panas
Jemaah haji diingat kurangkan aktiviti luar susulan cuaca panas

MAKKAH, 20 MEI: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mengurangkan aktiviti luar susulan cuaca panas ekstrem di Arab Saudi yang dijangka mencecah suhu 48 darjah Celsius dalam tempoh terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata peringatan itu amat penting memandangkan kemuncak ibadah haji serta operasi Masyair bakal berlangsung dalam keadaan suhu tinggi.

Beliau berkata jemaah disaran menggunakan laluan berbumbung atau membawa payung ketika bergerak ke Masjidil Haram, selain memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi dan strok haba.

“Jemaah juga digalakkan untuk kekal berada di dalam khemah ketika operasi Masyair nanti bagi mengelakkan terdedah kepada cuaca terlalu panas, terutama ketika waktu wukuf,” katanya di sini hari ini.

Zulkifli berkata pasukan perubatan haji Malaysia kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dengan pelbagai langkah proaktif telah disusun bersama pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah sepanjang musim haji, khususnya ketika operasi Masyair berlangsung.

Semalam, Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi mengeluarkan notis amaran cuaca panas ekstrem dengan suhu di sekitar Makkah dijangka mencecah 48 darjah Celsius.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan 1 Zulhijah 1447H ialah pada Isnin lalu, manakala hari wukuf di Arafah iaitu kemuncak ibadah dijangka berlangsung kurang seminggu lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.