Final ACC: Selangor FC intai keputusan positif di laman sendiri, hadapi Buriram United esok

19 Mei 2026, 9:00 AM
Final ACC: Selangor FC intai keputusan positif di laman sendiri, hadapi Buriram United esok

PETALING JAYA, 19 MEI: Ketua Jurulatih Selangor FC Kim Pan Gon berharap skuad Gergasi Merah akan memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dalam usaha memburu kemenangan pada aksi pertama final Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2025/2026 menentang Buriram United di sini esok.

Kim berkata peluang beraksi di pentas final perlu dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja demi kegemilangan Selangor, malah untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas bola sepak Asia Tenggara.

“Saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang hebat sekiranya kami menjadi juara, bukan sahaja demi kegemilangan Selangor tetapi juga untuk membanggakan negara.

“Di Asia Tenggara, kami sentiasa bersaing dan bekerja keras. Jadi, apabila kami mendapat peluang untuk beraksi di final, kami perlu berbangga dan memberikan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh rakyat juga,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu berkata Selangor yang bebas daripada masalah kecederaan tidak akan mengambil pendekatan berhati-hati, sebaliknya mahu menguasai permainan sejak awal dan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri.

Beliau berkata meskipun Buriram United wajar diberikan penghormatan sebagai antara wakil Asia Tenggara yang mara ke kelompok lapan terbaik dalam ACL Elite, Selangor tetap akan menggunakan pendekatan menyerang dan kekal dengan corak permainan mereka.

Pan Gon berkata beliau tidak perlu bercakap terlalu banyak bagi membakar semangat pemain kerana mereka sudah memiliki motivasi tinggi menjelang pertemuan penting itu.

“Mereka bersatu sebagai satu pasukan dan tugas saya adalah memastikan keadaan terkawal kerana saya tidak mahu kami menjadi terlalu teruja,” kata jurulatih kelahiran Korea Selatan berusia 57 tahun itu.

Sementara itu, perancang tengah Selangor Hugo Boumous berharap keyakinan dan momentum kemenangan yang diraih hasil kejayaan menewaskan Nam Dinh FC pada separuh akhir akan terus menyuntik inspirasi kepada pasukan menjelang aksi esok.

“Sejak beberapa minggu lepas, kami bermain dengan keserasian yang sama, membina persefahaman kukuh sesama pemain apabila menguasai bola dan kekal fokus kepada objektif kami,” kata pemain kelahiran Perancis itu.

Aksi timbal balik final antara Buriram United dan Selangor dijadualkan berlangsung di Thailand pada Rabu depan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.