SHAH ALAM, 21 MEI: Pengguna pengangkutan awam menyifatkan pas bulanan My50 mampu membuatkan mereka berjimat sehingga RM300 sebulan, namun berharap kekerapan pengangkutan awam di waktu puncak ditingkatkan.
Seorang pengguna perkhidmatan awam yang ditemui Media Selangor, Siao Ping, 33, berkata penggunaan pengangkutan awam membantu menjimatkan kos sehingga RM200 hingga RM300 sebulan berbanding memandu sendiri.
"Kalau guna kenderaan tu, kos tinggi sikit lah disebabkan petrol semua tu kan.
"RM50 itu sangat berbaloi sebab saya dari Puchong sampai sini. Boleh jimat antara RM200 hingga RM300,” katanya.

Beliau yang bekerja di sebuah bank turut mencadangkan supaya Rapid KL menambah baik kekerapan kereta api selain memperluas liputan pengangkutan awam.
“Lebih kerap sebab sekarang kadang-kadang kena tunggu atau tambah lagi banyak kawasan,” tambahnya.
SK Morgan, 27, turut berpandangan sama, menambah pas My50 sangat membantunya untuk mengurangkan kos belanja hariannya termasuk kos petrol dan perbelanjaan lain.
“Untuk saya, My50 sangat berguna sangatlah sebab ia sebenarnya kurangkan semua kos macam petrol, lepastu duit-duit yang lain lah sebab untuk sebulan, kita hanya guna RM50 (pas bulanan) sahaja.
“Sebenarnya itu masalah utama juga, jadi mungkin kalau tambah liputan kawasan, lebih baik,” katanya.

Seorang lagi pengguna pas My50 yang hanya mahu dikenali sebagai Chen,23, berkata penggunaan pengangkutan awam membantunya mengelakkan kesesakan jalan raya selain mengurangkan kos petrol dan parkir.
"Saya lebih suka tak bawa kereta sebab jalan sesak teruk dan kos makin meningkat. Dengan My50, saya boleh bergerak ke banyak tempat dan memang sangat jimat," katanya.
Namun beliau berharap kekerapan kereta api ke arah Kajang dapat dipertingkatkan bagi mengelak kesesakan ketika waktu puncak.
"Saya tengok waktu petang tren ke arah Kajang agak kurang dan selalu sesak," katanya.

Pengguna yang ditemui turut menyifatkan penggunaan pengangkutan awam selain menjimatkan kos turut menjimatkan masa mereka.
Sementara itu, Stephenie, 35, berkata kenaikan harga petrol serta keadaan tren yang semakin sesak memberi kesan kepada pengguna, namun penggunaan pengangkutan awam tetap menjimatkan kos dan masa.
“Petrol naik harga dan kesesakan memang teruk, gerabak pula selalu sesak tetapi ia jimatkan banyak duit dan masa.
“Mungkin mereka boleh selenggara keretapi dengan lebih kerap kerana kerosakan yang berlaku memang menjejaskan kami,” katanya.

Niddashima Baharudin, 33, turut bersetuju bahawa pas perjalanan My50 yang menawarkan penggunaan tanpa had menjimatkan kos.
“Sebab dia tanpa had. Jadi (kalau) setiap hari masuk pejabat, macam banyak jimat sebenarnya,” katanya.









