Selangor rancang program lahir pelapis sasterawan, penulis, peruntuk RM2 juta

19 Mei 2026, 1:14 AM
Selangor rancang program lahir pelapis sasterawan, penulis, peruntuk RM2 juta
Selangor rancang program lahir pelapis sasterawan, penulis, peruntuk RM2 juta
Selangor rancang program lahir pelapis sasterawan, penulis, peruntuk RM2 juta
Selangor rancang program lahir pelapis sasterawan, penulis, peruntuk RM2 juta

PETALING JAYA, 19 MEI: Kerajaan Negeri merancang menganjurkan kelas bimbingan sastera dengan anggaran peruntukan RM2 juta bagi melahirkan pelapis penulis dan sasterawan di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata program itu akan menjadi ruang kepada sasterawan tempatan melatih bakat baharu selain memberi peluang kepada peserta menerima pembiayaan sepanjang program berlangsung.

"Saya akan meneliti kertas kerjanya bersama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Insya-Allah tahun ini juga kita boleh laksanakan," katanya ketika ditemui pada Permukiman Sasterawan & Karyawan 2026 di Hotel Sunway Resort, di sini semalam.

Menurutnya, inisiatif berkenaan diyakini mampu melahirkan penulis muda yang dibimbing secara langsung oleh sasterawan berpengalaman sekali gus menghasilkan karya berkualiti pada masa depan.

"Dengan sokongan ini, kita akan melahirkan penulis muda yang dibimbing oleh sasterawan kita. Mungkin ada karya baru yang agak besar dan menarik untuk kita keluarkan pada tahun ini ataupun tahun akan datang," katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika sesi dialog dalam program Permukiman Sasterawan dan Karyawan 2026 di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya pada 18 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Beliau turut menjelaskan usaha itu sebahagian daripada langkah Kerajaan Negeri dalam membantu penerbitan karya bermutu yang mampu membawa suara rakyat dan masyarakat.

Terdahulu, beliau merasmikan program dihadiri lebih 70 peserta termasuk tujuh Sasterawan Negara, 19 karyawan serta penulis tanah air bagi membincangkan perkembangan dunia sastera dan penulisan.

Antara yang hadir Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Sasterawan Negara Dato' Dr Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan, Sasterawan Negara Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari.

Mengulas program tersebut, Amirudin menyifatkan pertemuan itu sebagai medan percambahan idea yang sangat baik untuk memajukan bidang sastera pada masa depan.

"Satu percambahan idea yang sangat baik apatah lagi yang datang adalah sasterawan dan penulis hebat, satu pengalaman yang baik. Banyak idea bernas boleh dikemukakan pada masa depan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.