Mencari karya kritis di celah-celah anugerah sastera

21 Feb 2026, 12:30 AM
Mencari karya kritis di celah-celah anugerah sastera

Oleh Najib Bentayan

Dalam setiap zaman, sastera sentiasa kembali kepada satu persoalan asas: sejauh mana kebebasannya? Persoalan ini bukan baharu tetapi dalam konteks dunia sastera Malaysia mutakhir, ia menjadi semakin mendesak.

Ketika ekosistem buku berdepan tekanan pasaran, ruang kritikan makin mengecil dan penulis mencari pembaca di lorong sempit media sosial, timbul kegelisahan yang sukar diabai, adakah sastera kita masih berani?

Perbincangan ini kembali hangat apabila beberapa anugerah sastera kebelakangan ini tidak menobat pemenang utama bagi kategori tertentu. Penjelasan rasmi lazimnya menyentuh soal mutu karya yang belum mencapai tahap yang diharapkan.

Namun dalam kalangan penggiat sastera, muncul persoalan lebih sukar: adakah ketiadaan pemenang mencerminkan kekurangan karya bermutu atau mencerminkan sesuatu yang lebih mendalam iaitu ketakutan penulis untuk menulis dengan berani?

Soalan tersebut tidak boleh dijawab secara mudah. Namun dalam kerangka sosiologi sastera, ia bukan persoalan yang asing.

Ahli teori sastera dan budaya, Julia Kristeva menegaskan teks tidak pernah wujud dalam ruang kosong. Melalui konsep intertekstualiti, beliau menjelaskan setiap karya lahir dalam jaringan bahasa, budaya, sejarah dan kuasa.

Penulis tidak menulis dalam vakum; mereka menulis dalam medan sosial yang sarat dengan harapan, batas dan ketakutan. Dalam kerangka ini, kebebasan sastera bukan sekadar hak individu penulis tetapi cerminan kesihatan budaya sebuah masyarakat.

Sejarah membuktikan zaman kegemilangan sastera sering lahir daripada keberanian intelektual. Novel realisme Eropah abad ke-19 berkembang ketika penulis berani mengkritik kelas pemerintah. Sastera Amerika Latin meledak apabila penulis mengangkat trauma politik dan diktatorisme.

Di dunia Arab, kebangkitan novel moden berkait rapat dengan pergolakan sosial dan identiti pascakolonial.

Dalam semua contoh ini, sastera berkembang apabila ia berani menjadi kritikal. Persoalannya: adakah keberanian itu semakin menipis dalam konteks tempatan?

Hari ini, ramai penulis muda hadir dengan teknik baharu, bahasa segar dan eksperimen bentuk yang menarik. Namun tema yang dominan sering berlegar pada ruang yang selamat: cinta, keluarga, nostalgia, pencarian diri atau konflik peribadi.

Tema-tema ini tidak salah, malah penting. Tetapi apabila ruang sosial yang lebih luas episod politik, kuasa, ketidaksamaan, konflik identiti dan keruntuhan institusi jarang disentuh secara berani, timbul kegelisahan bahawa sastera sedang mengelak wilayah yang paling memerlukan suara kritikal.

Di sinilah kemungkinan hubungan dengan ketiadaan pemenang utama anugerah sastera perlu direnung secara jujur.

Anugerah sastera lazimnya mencari karya yang bukan sahaja indah dari segi bahasa tetapi juga signifikan dari segi gagasan. Karya besar bukan sekadar bercerita; ia mengganggu, mencabar dan membuka perbincangan baharu.

Jika karya yang dihantar gagal mencapai tahap ini, kita perlu bertanya: adakah penulis kekurangan bakat atau kekurangan keberanian?

Ketakutan dalam dunia sastera tidak selalu hadir dalam bentuk larangan rasmi. Kadangkala ia hadir dalam bentuk lebih halus seperti penapisan kendiri. Penulis mula meneka apa yang boleh dan tidak boleh diterima, apa yang selamat dan apa yang berisiko.

Mereka menulis dengan bayang-bayang kemungkinan penolakan, kecaman atau sekatan. Dalam keadaan ini, sastera tidak lagi bergerak dengan kebebasan penuh tetapi dengan langkah berhati-hati.

Fenomena ini selari dengan pandangan Kristeva bahawa bahasa ialah medan kuasa. Setiap pilihan kata, tema dan sudut pandang berinteraksi dengan norma masyarakat.

Apabila norma menjadi terlalu sempit atau sensitif, penulis cenderung mengurangkan risiko. Maka lahirlah penapisan kendiri, bukan kerana larangan jelas tetapi kerana kewujudan kebimbangan berterusan.

Namun persoalan ini tidak boleh diletak sepenuhnya di bahu penulis.

Kebebasan sastera bergantung pada keseluruhan ekosistem: penerbit, pengkritik, institusi pendidikan, media dan pembaca. Tanpa ruang perbincangan yang matang, karya kritikal mudah disalah tafsir atau diserang secara dangkal.

Tanpa budaya kritikan sihat, penulis kehilangan sokongan intelektual untuk mempertahan karya mereka. Tanpa pembaca yang bersedia menerima wacana kompleks, karya berani akan kekal terpinggir.

Dalam konteks ini, kebebasan sastera ialah tanggungjawab kolektif. Kita juga perlu jujur faktor ekonomi memainkan peranan besar. Dalam pasaran buku yang semakin kompetitif, karya kontroversial dilihat sebagai risiko.

Penerbit perlu memikirkan kos cetakan, pengedaran dan potensi pulangan. Kedai buku perlu mempertimbangkan reaksi pelanggan.

Dalam ekosistem sebegini, karya yang selamat sering dilihat lebih mudah untuk dipasarkan. Tekanan pasaran secara tidak langsung menyempitkan ruang keberanian sastera.

Di sinilah dilema klasik muncul: sastera sebagai seni atau sastera sebagai produk.

Jika sastera terlalu tunduk kepada pasaran, ia kehilangan fungsi kritikalnya. Jika sastera terlalu mengabaikan pembaca, naskah kehilangan kerelevanan sosialnya. Jalan tengahnya bukan mudah.

Namun sejarah menunjukkan karya besar sering lahir daripada keberanian melangkaui zon selesa walaupun pada awalnya sukar diterima.

Sastera yang bebas bukan bermaksud sastera tanpa tanggungjawab. Kebebasan bukan lesen untuk sensasi murahan atau provokasi kosong. Kebebasan bermaksud keupayaan menyoal realiti dengan jujur, mengangkat persoalan sukar dan menolak keselesaan palsu.

Sastera kritikal tidak semestinya menjerit; kadangkala ia berbisik dengan lebih tajam daripada jeritan dan nyaringnya memecah sunyi.

Kita juga perlu berhati-hati agar tidak menuntut keberanian secara romantik tanpa menyediakan perlindungan budaya yang mencukupi. Menyeru penulis agar berani tanpa membina ekosistem yang menyokong mereka ialah tuntutan yang tidak adil.

Kebebasan sastera tidak lahir daripada keberanian individu semata-mata, tetapi daripada budaya yang menghargai perbezaan pendapat dan perbincangan intelektual.

Namun ketiadaan keberanian bukan pilihan yang selamat dalam jangka panjang.

Apabila sastera kehilangan sifat kritikalnya, ia berisiko menjadi sekadar hiburan. Ia mungkin terus dibaca, tetapi tidak lagi memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

Dalam keadaan ini, sastera kehilangan salah satu fungsi terpentingnya: menjadi ruang imaginasi sosial, tempat masyarakat berlatih membayangkan dunia yang berbeza.

Mungkin inilah kegelisahan sebenar di sebalik ketiadaan pemenang utama anugerah sastera.

Bukan sekadar soal mutu teknikal tetapi soal kekuatan gagasan. Karya yang baik mungkin banyak, tetapi karya yang berani mungkin masih kurang.

Jika benar demikian, cabarannya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak karya, tetapi menghasilkan karya yang lebih berani.

Sastera mesti bebas, kerana tanpa kebebasan, naskhah kehilangan suaranya.

Sastera mesti kritikal, kerana tanpa kritikan, naskah kehilangan fungsinya.

Dan jika suatu hari nanti anugerah sastera kembali menobatkan karya yang benar-benar menggugah, mungkin itulah tanda sastera kita kembali berani menatap realiti tanpa gentar.