Cemburu, cinta tidak berbalas dipercayai motif lelaki tikam leher ibu tunggal

18 Mei 2026, 9:50 AM
Cemburu, cinta tidak berbalas dipercayai motif lelaki tikam leher ibu tunggal

ALOR SETAR, 18 MEI: Perasaan cemburu dan cinta tidak dibalas dipercayai menjadi motif seorang lelaki menikam leher seorang wanita di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata bagaimanapun, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti motif utama kejadian yang melibatkan suspek berumur 32 tahun dan mangsa berusia 35 tahun itu.

“Polis menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.24 malam yang memaklumkan berlaku pergaduhan di hadapan sebuah restoran. Mangsa wanita cedera di bahagian leher dipercayai ditikam menggunakan objek tajam dan terbaring di dalam kereta dalam keadaan berlumuran darah.

“Suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian, sebelum berjaya ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah ibadat di Taman Uda, kira-kira enam kilometer (km) dari lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa merupakan seorang ibu tunggal, manakala suspek ialah duda dan mereka saling mengenali lebih satu tahun kerana kedua-duanya bekerja dalam bidang hartanah.

“Kejadian dipercayai berlaku dengan pantas kerana mereka baru sampai di restoran berkenaan dan kedua-duanya belum turun dari kereta. Beberapa minit kemudian, suspek keluar dari kereta milik mangsa dan terus melarikan diri ke kawasan bendang berhampiran.

“Tindakan pantas mangsa menekan hon kereta berjaya menarik perhatian orang ramai yang berada di restoran berkenaan dan rawatan awal diberi bagi menghentikan pendarahan. Tikaman dipercayai dari bahagian kiri leher sehingga tembus ke kanan, manakala senjata tajam yang digunakan dipercayai sama ada pemecah ais, pemutar skru atau pisau rambo,” katanya.

Adzli berkata mangsa kini dalam keadaan stabil dan pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa serta beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Adzli memaklumkan suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan parah kepada teman wanitanya beberapa tahun lepas.

“Hasil saringan urin mendapati suspek negatif terhadap sebarang bahan terlarang dan dia direman selama tujuh hari hingga 24 Mei bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 326 KK,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.