PELABUHAN KLANG, 18 MEI: Kerajaan Selangor sedang giat memperincikan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa kedua sebagai persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup dan kesan krisis bekalan global dalam beberapa bulan akan datang.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jawatankuasa pasukan tindakan khas kini rancak bermesyuarat bagi mengumpul data serta meneliti pelbagai cadangan sebelum pakej itu diumumkan pada Jun atau selewat-lewatnya Julai ini.
“Pakej mungkin dilancar dalam Jun atau Julai. Saya dan jawatankuasa pasukan tindakan khas sedang rancak bermesyuarat dan mengumpulkan data-data serta maklumat.
“Kita juga sedang meneliti apakah cadangan-cadangan yang ingin kita bentangkan. Sebenarnya, realitinya kita belum betul-betul menerima kesan secara langsung ataupun berganda pada masa sekarang,” katanya.

Ditemui dalam satu majlis di Westport, Amirudin berkata walaupun kesan kenaikan harga masih terkawal ketika ini, Kerajaan Negeri menjangkakan tekanan lebih besar mungkin dirasai mulai Julai, termasuk melibatkan bekalan makanan susulan kesan terhadap bekalan baja urea.
“Mungkin ada peningkatan harga bahan bakar, itu pun kerajaan masih lagi subsidi melalui BUDI dan dalam pada masa yang sama harga barangan belum betul-betul meningkat, sebagaimana kesan secara bulanannya ataupun selepas beberapa bulan.
“Kesannya belum lagi dirasai dan maklumat yang kita dimaklumkan mulai Julai onward, kita akan dapat kesan yang lebih berganda, lebih besar berbanding pada hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat membuat persediaan mental sementara Kerajaan Megeri mempergiat pelbagai langkah bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan kos.
“Sebab itu saya minta rakyat bersedia secara mental dan kerajaan juga sedang bersedia untuk membantu dengan pelbagai program. Sebab itu sebahagian stimulus pakej kita bermula pada Jun, ada yang akan mula Ogos,” ujarnya.
Pada April lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta bagi membantu rakyat serta industri negeri menghadapi kesan krisis bekalan tenaga global susulan ketegangan di Asia Barat.
Inisiatif di bawah pakej berkenaan dijadual dilaksanakan mulai Jun sebagai langkah fasa pertama untuk memperkukuh bekalan makanan dan mengawal inflasi.
Sementara itu, minggu lalu EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri telah memulakan sesi libat urus bersama pemain industri terjejas bagi merangka bentuk bantuan yang lebih bersasar.
Katanya, Invest Selangor turut mengadakan siri perbincangan bersama dewan perniagaan dan perdagangan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk semua sektor industri.








