SHAH ALAM, 18 MEI: Bekas banduan kes jenayah seksual yang disyaki mengurung, mendera dan meliwat seorang remaja lelaki dalam kejadian di Bukit Kemuning di sini pada 12 Mei lalu berjaya diberkas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek ditahan dalam serbuan di bilik sewanya di Kuala Lumpur pada petang Sabtu lalu dan kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan.
Menurutnya, lelaki terbabit sebelum ini menjalani hukuman penjara selama 18 tahun sebelum dibebaskan pada April tahun lalu.
"Reman pertama akan berakhir pada 19 Mei (esok) dan sekiranya siasatan masih belum lengkap, polis akan memohon lanjutan tempoh reman. Jadi, beri ruang untuk polis lengkapkan siasatan. Insya-Allah saya yakin akan dapat hasil yang positif terhadap tangkapan.
"Suspek ditangkap di biliknya sebab dia bekerja sebagai pemungut hutang dan bergerak menggunakan pelbagai pengangkutan awam," katanya pada sidang media hari ini seperti dilapor BH.
Shazeli berkata, setakat ini polis tidak mengesan mangsa lain yang dikaitkan dengan suspek.
"Mangsa dipercayai dipilih secara rawak. Suspek juga ada rekod jenayah menjalani hukuman penjara sebelum ini dan semakan mendapati suspek dibebaskan pada April tahun lalu," katanya.
Terdahulu, media melaporkan suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes rogol, mengurung dan merompak wanita sebelum dipenjarakan pada 2008.
Dalam kejadian pada 12 Mei lalu, remaja lelaki berusia 14 tahun itu diselamatkan jiran selepas dipercayai dikurung kira-kira tiga jam di sebuah rumah di Bukit Kemuning.
Polis menerima maklumat kejadian kira-kira jam 12 tengah hari apabila mangsa diselamatkan jiran selepas dikurung kira-kira tiga jam di rumah berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sebelum menawarkan pakej internet telefon bimbit dengan syarat membantu mengangkat barang ke dalam rumah.








