KKM jamin harga ubat kekal stabil - Dr Dzulkefly

14 Mei 2026, 8:45 AM
KKM jamin harga ubat kekal stabil - Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 14 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan harga ubat di negara ini masih terkawal dengan kenaikan minimum sekitar satu hingga dua peratus setakat ini meskipun kos operasi meningkat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan itu masih dalam julat inflasi biasa dan tidak menunjukkan lonjakan mendadak seperti dibimbangi sebelum ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, kestabilan harga berkenaan disumbang kerjasama pemain industri termasuk Pharmaniaga dan Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) yang menyerap sebahagian peningkatan kos termasuk penggunaan diesel.

“Setakat ini ubat-ubatan kekal dalam julat harga yang stabil. Jika ada kenaikan pun hanya sekitar satu hingga dua peratus dan kita harap keadaan ini berterusan hasil kerjasama pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Hospital Seri Iskandar yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Dalam masa sama, Dzulkefly berkata KKM menubuhkan Pasukan Petugas Khas Keselamatan Ubat dan Peranti Perubatan bagi memantau bekalan serta harga ubat secara berterusan termasuk menerusi sistem amaran awal untuk mengesan gangguan rantaian bekalan.

Katanya, pemantauan mingguan secara masa nyata dilakukan melibatkan kecukupan bekalan, kos semasa serta penyediaan stok penampan dan simpanan jangka panjang khususnya bagi ubat kritikal.

“KKM turut mempelbagaikan sumber bahan mentah termasuk Active Pharmaceutical Ingredient (API) bagi memastikan bekalan ubat kritikal sentiasa mencukupi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.