KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bekalan ubat-ubatan kritikal di negara ini termasuk insulin dan vaksin berada pada tahap stabil dan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat buat masa ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi) Dr Azuana Ramli berkata kerajaan melaksanakan pemantauan berterusan menerusi penubuhan pasukan petugas memastikan tahap ketersediaan stok ubat-ubatan di seluruh negara stabil.
"Sekarang kita sudah ada jawatankuasa yang ahlinya terdiri daripada pegawai-pegawai kementerian dan juga pihak industri. Kita membincangkan isu ini dan memantau paras stok secara bersama,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Sekuriti Bekalan Ubat Negara" hari ini.
Dr Azuana berkata melalui mekanisme ini, pihak industri menyalurkan maklumat tahap stok bagi membolehkan KKM mengenal pasti sebarang gangguan bekalan dengan lebih awal
“Kita dapat lihat stok mana kritikal contohnya mungkin dalam rantaian itu bekalan kita tinggal 60 hari ke 90 hari. Jadi bila kita tahu stok yang mana ada isu, kita boleh ambil tindakan," katanya.
Mengenai isu bekalan insulin, Dr Azuana berkata rawatan untuk pesakit diabetes tidak terjejas kerana terdapat pelbagai jenis rawatan dan pilihan ubat alternatif di pasaran.
“Walaupun berlaku kekurangan insulin, rawatan pesakit diabetes tetap diteruskan kerana pesakit boleh beralih kepada insulin analog atau ubat tablet.
“Jadi sebab itu bekalan ubat-ubatan stabil dan terkawal. Mungkin ada gangguan rantaian namun kita akan ambil langkah mitigasi bagi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam apa cara sekalipun” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Dr P. Muralitharan berkata setakat ini peranti perubatan di Malaysia masih mencukupi dan terkawal meskipun dunia berdepan konflik di Asia Barat.
Bagaimanapun, katanya, MDA sentiasa memantau situasi semasa memandangkan terdapat beberapa kategori peranti yang mula mengalami sedikit kekurangan bekalan.
“Antara peranti yang terkesan termasuklah peranti diagnostik makmal (IVD) seperti kit ujian dan reagen makmal, namun tahap kekurangannya tidak signifikan.
“Gangguan kecil ini juga melibatkan barangan pakai buang seperti sarung tangan, pelitup muka, implan, peranti pembedahan, serta bahan untuk rawatan hemodialisis,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "SAP: Percepat Bekalan Jamin Keselamatan".
Beliau berkata Special Access Pathway (SAP) membolehkan pembekal memperoleh akses segera kepada peranti perubatan sekali gus memperkukuh rantaian bekalan industri peranti perubatan tempatan.
SAP ialah satu pendekatan interim yang membolehkan peranti, yang belum didaftarkan sepenuhnya digunakan, tertakluk kepada penilaian ketat aspek kualiti dan keselamatan.
“Pada masa yang sama, langkah ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap peranti perubatan yang diimport dari luar negara,” katanya.








