Mazda CX-8 bertema topografi Jugra perkukuh program komuniti YRMS

14 Mei 2026, 7:25 AM
Mazda CX-8 bertema topografi Jugra perkukuh program komuniti YRMS
Mazda CX-8 bertema topografi Jugra perkukuh program komuniti YRMS
Mazda CX-8 bertema topografi Jugra perkukuh program komuniti YRMS
Mazda CX-8 bertema topografi Jugra perkukuh program komuniti YRMS
Mazda CX-8 bertema topografi Jugra perkukuh program komuniti YRMS

SHAH ALAM, 14 MEI: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima sebuah kenderaan Mazda CX-8 bertema topografi Jugra yang disumbangkan syarikat Bermaz Auto untuk kegunaan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).

Majlis penyerahan disempurnakan Ketua Kumpulan Selepas Jualan Bermaz Auto, Dato' Shamsuddin Amran kepada Baginda yang juga Penaung YRMS di sini hari ini.

Bermaz Auto dalam kenyataan memaklumkan sumbangan tersebut bertujuan melancarkan urusan logistik program komuniti kendalian YRMS selain memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Menurut syarikat itu, pemilihan tema topografi Jugra pada kenderaan berkenaan membawa simbolik besar terhadap sejarah dan warisan Selangor sebagai pusat seni serta naungan diraja suatu ketika dahulu.

“Jugra merupakan ibu negeri Selangor pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 memperlihat perkembangan pesat warisan diraja dan kemahiran seni tradisional seperti pembinaan Istana Bandar dengan gabungan seni bina dari pelbagai budaya dan penghasilan kain telepuk serta keris.

“Justeru, ia membawa naratif kesinambungan warisan Selangor sejajar dengan inisiatif YRMS,” menurut kenyataan itu.

Sejak 2023, YRMS dan Bermaz Auto Berhad menjalinkan kerjasama dalam usaha memartabatkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi pelbagai program pembangunan belia.

Antara inisiatif dilaksanakan termasuk bengkel eksplorasi diri, latihan berasaskan kemahiran serta Hari Terbuka TVET YRMS yang menghimpunkan pelajar, institusi pendidikan dan rakan industri.

Kerjasama itu dilihat mampu memperkukuh pembangunan modal insan terutama dalam kalangan generasi muda melalui pendedahan kepada bidang kemahiran dan pendidikan teknikal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.