Pengurangan subsidi BUDI95 langkah kurangkan beban fiskal, didik rakyat berjimat

13 Mei 2026, 3:37 AM
Pengurangan subsidi BUDI95 langkah kurangkan beban fiskal, didik rakyat berjimat
Pengurangan subsidi BUDI95 langkah kurangkan beban fiskal, didik rakyat berjimat
Pengurangan subsidi BUDI95 langkah kurangkan beban fiskal, didik rakyat berjimat

SHAH ALAM, 12 MEI: Cadangan pengurangan subsidi BUDI95 sehingga 150 liter dilihat sebagai langkah berperingkat kerajaan dalam usaha mengurangkan beban fiskal negara.

Ketua Kluster Mikroekonomi Fakulti Ekonomi Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata tindakan itu sebahagian daripada usaha penyusunan semula subsidi susulan ketidaktentuan bekalan bahan api global.

Menurut Prof Madya Dr Mustazar Mansur, masyarakat perlu mula berjimat dan berbelanja secara lebih berhemah selain mengutamakan keperluan harian.

“Ia secara tidak langsung sebenarnya kerajaan sedang mendidik rakyat untuk merancang balik daripada segi bagaimana individu itu menggunakan bekalan bahan api setiap hari.

"Sebenarnya ramai juga kita nampak rakyat Malaysia sudah mula berjimat malahan ada yang mula mencari alternatif beralih kepada kenderaan elektrik (EV) termasuk tangguhkan percutian yang sudah dirancang," katanya kepada Media Selangor.

Dr Mustazar berkata dalam jangka masa panjang langkah itu berpotensi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil selain mempercepat perkembangan pasaran teknologi hijau yang lebih kompetitif dan mampu milik.

Ketua Kluster Mikroekonomi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustazar Mansur

Menurutnya, golongan berpendapatan tinggi serta syarikat besar juga seharusnya mula beralih kepada alternatif tenaga lebih menjimatkan seperti penggunaan solar dan EV.

Beliau berkata, beberapa negara maju juga telah bergerak ke arah penggunaan teknologi hijau bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta mengawal kos tenaga.

Justeru katanya, kerajaan perlu memperluaskan lagi insentif dan kemudahan berkaitan teknologi hijau termasuk penyediaan fasiliti pengecas EV serta akses lebih mudah kepada pemasangan solar domestik.

"Golongan yang berkemampuan sebenarnya mempunyai pilihan untuk melabur dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui seperti solar atau menggunakan EV yang lebih menjimatkan.

"Malah, sekiranya teknologi seperti solar diperluaskan dan semakin ramai menggunakannya kos juga akan menjadi lebih murah pada masa depan. Ini sekali gus membantu rakyat dan kerajaan mengurangkan beban subsidi," katanya.

Kerajaan sebelum ini menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April lalu, dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilapor berkata langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.

Bagaimanapun, semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong mengumumkan kerajaan bakal mengurangkan kuota bulanan bahan api RON95 di bawah program BUDI95 kepada 150 liter namun kenyataan itu kemudian dinafikannya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.