SHAH ALAM, 3 MEI: Golongan peniaga kecil di pasar tani mengakui subsidi bahan api sedikit sebanyak membantu meringankan kos operasi harian, namun masih belum mencukupi untuk menampung tekanan kenaikan harga minyak dan bekalan.
Peniaga sayur, Muhammad Mukhlash Nasirin, 38, berkata perniagaan yang diusahakannya sejak lebih 25 tahun lalu kini berdepan cabaran lebih besar berikutan peningkatan kos bahan api yang semakin ketara.

“Memang susah sekarang sebab harga minyak naik berganda. Nak naikkan harga jualan pun tak boleh banyak sangat, nanti pelanggan lari. Tambahan pula sayur cepat rosak kalau tak habis jual.
“Setakat ini subsidi ini memang membantu, tetapi risau jugalah kalau satu hari nanti subsidi dihentikan,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Pasar Tani Seksyen 13 di sini.
Manakala, peniaga ikan, Mohd Hairul Anuar Mukhlas, 42, turut berpandangan sama sambil berkata kos bahan api menjadi antara beban utama memandangkan beliau perlu bergerak jauh mendapatkan bekalan.

“Saya ambil stok dari Perak, Sungai Besar dan Sekinchan. Penggunaan minyak memang tinggi. Sekarang nak isi penuh boleh cecah hampir RM400 dengan subsidi, memang terasalah kalau subsidi ditarik nanti.
“Nak dapatkan bekalan itu tiada masalah cuma harga daripada pembekal adakalanya naik sedikit jadi kita pun terpaksa naikkan juga harga jualan sikit,” katanya yang lebih 20 tahun berniaga.
Sementara itu, peniaga buah-buahan, Muhammad Mustaqim Firdaus, 26, berkata kenaikan harga minyak memberi kesan langsung kepada margin keuntungan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan barangan mudah rosak.

“Subsidi tak cukup, belum sampai sebulan dah habis. Kadang-kadang terpaksa lelong buah bila dah nak rosak. Tak untung sangat pun terpaksa pejam mata sahajalah, asalkan barang jualan habis.
“Harap kerajaan boleh tambah lagi subsidi sekurang-kurangnya ia membantu peniaga seperti kami yang memang keluar setiap hari,” katanya yang tidak memotong gaji pekerja, sebaliknya hanya menaikkan sedikit harga buah bagi menampung kos.








