SHAH ALAM, 12 MEI: Kuota bulanan petrol RON95 di bawah program BUDI95 mungkin dikurangkan kepada 150 liter sebulan selaras usaha kerajaan menjamin bekalan bahan api domestik ketika berdepan krisis bekalan global akibat konflik Asia Barat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata data penggunaan semasa menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan jauh lebih sedikit daripada paras kuota semasa, lapor Berita Harian.
Jelasnya, Walaupun belum ada garis masa ditetapkan, pengurangan itu boleh dilaksanakan kerana program BUDI95 membolehkan kerajaan memperoleh data penggunaan secara terperinci sekali gus memudahkan pelarasan subsidi dan pengurusan bekalan mengikut keperluan semasa.
“Kuota pada masa ini ialah 200 liter sebulan, dikurangkan daripada paras kuota sebelum ini sebanyak 300 liter.
"Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum. Data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
"Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter. Malah, 50 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi 'Fireside Chat' bertajuk 'Malaysia's Response to Global Energy Crisis: Build Back Better' di 'AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026' anjuran AFFIN Group, di sini, hari ini.
Chin Tong berkata, usaha mengurangkan penggunaan bahan api dianggap penting bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara konsisten kepada rakyat walaupun pada kadar yang lebih terkawal.
Beliau berkata, adalah penting untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal yang dianggap paling terkesan sekiranya harga bahan api meningkat mendadak.
Katanya, golongan pengguna motosikal misalnya dianggarkan hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan perlu terus menikmati kadar subsidi tinggi bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup yang lebih besar.
Malah, tambahnya, pendekatan itu juga dilihat penting dari sudut kestabilan sosial dan politik negara, khususnya bagi memastikan golongan rentan tidak terbeban dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Perbelanjaan bulanan kerajaan untuk subsidi bahan api telah melonjak hampir 10 kali ganda apabila harga minyak mentah melonjak dengan peningkatan mendadak dalam konflik geopolitik Asia Barat pada akhir Februari.
Dalam pada itu, Chin Tong juga menegaskan bahawa kerajaan masih dalam perancangan mekanisme subsidi diesel yang disasarkan untuk Sabah dan Sarawak, sama seperti bahan api BUDI95.
Katanya, dalam jangka masa panjang, negara harus mempercepatkan pelaburan dalam pengangkutan awam, elektrifikasi dan perancangan bandar yang lebih padat untuk mengurangkan kebergantungan minyak jangka panjang.








