Setiap kali tiba minggu kedua bulan Mei, media sosial dipenuhi pelbagai perkongsian mengenai sambutan Hari Ibu.
Ada yang menghadiahkan kek, jambangan bunga dan makan malam istimewa sebagai tanda penghargaan kepada insan paling bermakna dalam hidup mereka.
Semuanya demi meraikan satu susuk tubuh yang sangat istimewa dalam hidup kita iaitu ibu. Namun pernahkah kita terfikir, adakah Hari Ibu ini hanya tentang hadiah material semata-mata?
Dalam kesibukan kita membelikan hadiah yang paling mahal, kadang-kadang kita terlepas pandang perkara yang paling ibu mahukan. Masa, perhatian, dan rasa dihargai sebenarnya yang menjadi idaman ibu tercinta.
Menjadi seorang ibu pada zaman moden ini bukanlah tugas mudah. Bagi ibu bekerja, mereka perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
Bagi suri rumah sepenuh masa pula, jadual mereka bermula sebelum matahari terbit dan hanya berakhir jauh malam selepas semua isi rumah nyenyak tidur.
Tiada istilah 'cuti sakit' atau 'cuti rehat' dalam kamus seorang ibu. Banyak pengorbanan ibu yang tidak kelihatan mata kasar. Mereka makan lauk yang paling sedikit asalkan anak-anak kenyang.
Mereka memendam rasa penat agar rumah tangga kekal terurus dan damai. Mereka menjadi doktor bila anak demam, menjadi guru bila anak perlu bimbingan dan menjadi kawan setia bila anak perlukan tempat meluah rasa.
Oleh itu, sempena Hari Ibu ini, marilah kita ubah sedikit cara kita meraikannya. Jika ada bajet untuk hadiahkan kek, teruskan! Tetapi, jangan lupa tambah hadiah yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Duduklah bersembang dengannya, dengar cerita lamanya yang mungkin sudah diulang banyak kali, bantu lipat kain di ruang tamu, atau sekadar ucapkan "Terima kasih mak, sebab selalu ada untuk kami."
Bagi yang ibunya telah tiada, jangan biarkan hari ini berlalu sepi. Titipkan doa yang berpanjangan. Kasih sayang kita kepada mereka tidak terputus hanya kerana mereka sudah berpindah ke negeri abadi.
Hari Ibu bukanlah sekadar sambutan sehari dalam setahun. Ia adalah peringatan buat kita semua bahawa setiap helaan nafas kita hari ini, ada doa seorang ibu yang mengiringinya sejak kita belum pandai berkata-kata.
Anak merpati terbang ke dahan,
Singgah sebentar di pohon jati,
Kasih ibu kurniaan Tuhan,
Semat di jiwa kekal abadi
Buat golongan ibu hebat di luar sana, terima kasih kerana tidak pernah menyerah. Walaupun ada harinya anda rasa penat, rasa seperti tidak cukup sempurna, atau rasa segala usaha anda tidak dipandang, ketahuilah bahawa di mata anak-anak, anda adalah wira terhebat mereka.
Anda sudah melakukan yang terbaik dan percayalah, dunia ini menjadi tempat yang jauh lebih indah kerana adanya kasih sayang anda. Selamat Hari Ibu! Teruslah kuat dan tersenyum ibu.
Buat anak-anak pula, selagi kita masih berpeluang untuk menatap wajah ibu atau sekadar mendengar suaranya di hujung talian, hargailah momen itu. Jangan tunggu esok untuk berbuat baik, kerana masa tidak pernah menunggu kita. Jadikanlah setiap hari sebagai 'Hari Ibu' melalui tingkah laku dan doa kita.
Nina Nazliana binti Zolkapli ialah pelajar Program Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Kuala Lumpur.









