SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar menyertai lebih 200 ibu dan wanita dalam Sambutan Hari Ibu anjuran PSPK Women Development Centre di Selayang.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peranan PSPK sejak lebih 20 tahun lalu dalam memperkasa wanita dan menyantuni komuniti wajar diberi penghargaan.
Menurutnya, usaha berterusan organisasi itu dalam pembangunan wanita, sokongan komuniti serta perlindungan golongan memerlukan turut diiktiraf dalam agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Usaha mereka dalam menghargai ibu dan membentuk masa depan yang lebih baik wajar diberikan penghormatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada warga PSPK atas dedikasi dalam memperkasa komuniti serta menyokong wanita dan keluarga di Selangor.
"Terima kasih kepada seluruh warga PSPK atas dedikasi berterusan dalam memperkasa komuniti dan menyantuni golongan wanita serta keluarga di Selangor," katanya.
Beliau dalam masa sama mendoakan agar semua ibu terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kebahagiaan bersama keluarga.
"Semoga setiap ibu terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kebahagiaan bersama insan tersayang. Selamat Hari Ibu," katanya.









