GOMBAK, 10 MEI: Seramai 175 individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi saringan dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand setakat 31 Mac lalu.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata tangkapan itu hasil pemeriksaan terhadap 651 individu menerusi Operasi Orang Yang Disyaki yang (OYDS) dilaksanakan Unit Antidadah Sempadan (UAS).
Menurutnya, operasi tersebut memfokuskan beberapa pintu sempadan utama termasuk Bukit Kayu Hitam, Rantau Panjang, Padang Besar, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.
“Dadah jenis Methamphetamine (Meth) merekodkan kes tertinggi dengan 65 tangkapan, diikuti Ketamin (43), tetrahydrocannabinol atau THC (32), metil enadioksi metamfetamina atau MDMA (22) dan ketum (13),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran AADK Selangor di Dewan Komuniti, Kampung Kemensah, Ulu Klang di sini, hari ini.

Tambah Ruslin tangkapan turut membabitkan seorang individu bawah umur 18 tahun dan seorang warga emas berusia lebih 60 tahun, manakala 173 lagi berumur antara 19 hingga 59 tahun.
“Operasi sekatan jalan raya dan bersepadu dilakukan setiap hari dan dipergiatkan ketika musim perayaan seperti Songkran, Tahun Baharu, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
“Untuk tahun 2025, seramai 1,739 individu disaring dengan 415 daripadanya ditahan positif dadah, manakala pada 2024 seramai 1,235 individu diperiksa dan 494 ditahan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand agar menjauhi penyalahgunaan dadah kerana tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283).
“Kalau mereka didapati positif, AADK akan ambil tindakan terhadap mereka di bawah akta ini dan mereka boleh berhadapan ditahan selama dua tahun di pusat pemulihan,” ujarnya.







