Selangor perkenal maskot, lagu rasmi dan larian obor SUKMA 2026

6 Jun 2026, 3:18 PM
Selangor perkenal maskot, lagu rasmi dan larian obor SUKMA 2026
Selangor perkenal maskot, lagu rasmi dan larian obor SUKMA 2026
Selangor perkenal maskot, lagu rasmi dan larian obor SUKMA 2026
Selangor perkenal maskot, lagu rasmi dan larian obor SUKMA 2026

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Pelancaran lagu, nama maskot dan larian obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026 berlangsung penuh meriah di Dataran Malawati, Pekan Lama, malam ini.

Majlis pelancaran temasya dwi tahunan terbesar itu disempurnakan oleh EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi. Hadir sama Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Salimi Azmi, Ketua Kontijen Para SUKMA Selangor Lim Yi Wei dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN), Mohamad Nizam Marjugi.

Pada majlis itu, maskot Helang Putih jantan yang dikenali sebagai “Sakti” manakala “Seri” bagi betina turut diperkenalkan kepada pengunjung yang hadir.

Buat pertama kali juga lagu rasmi temasya berjudul “Rentak Kita, Aksi Kita” nyanyian Azlan & Typewriter dan Balan Kash turut didedangkan.

Pada masa sama, Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain menyempurnakan gimik penyerahan obor kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor Mohamad Hanafe Basri.

Najwan kemudian melancarkan gimik larian yang diketuai Mohamad Hanafe bagi membawa obor tersebut bersama 1,000 peserta dari Pentas Dataran Malawati ke Rumah Api sepanjang lima kilometer.

Aktiviti menarik lain yang disediakan buat pengunjung adalah zumba, cabutan bertuah dan program kebudayaan.

Pada 10 Mei lalu, program Jelajah Larian Obor SUKMA ke-22 dan PARA SUKMA 2026 membuka tirai di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi menyemarakkan semangat kesukanan menjelang temasya sukan itu pada Ogos depan.

Selepas Shah Alam, Klang dan Kuala Selangor jelajah larian obor akan diteruskan ke Sabak Bernam diikuti Hulu Selangor, Selayang, Ampang Jaya, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat sebelum berakhir di Sepang pada 9 Ogos ini.

SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, manakala PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dengan 316 acara yang berlangsung di daerah Petaling dan Klang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.