Kesedaran jaga peti suara masih rendah, ramai anggap masalah suara tidak serius

8 Mei 2026, 2:00 AM
Kesedaran jaga peti suara masih rendah, ramai anggap masalah suara tidak serius

BANGI, 8 MEI: Kesedaran penjagaan peti suara di negara ini masih rendah apabila ramai yang menganggap masalah suara hanya bersifat sementara dan akan pulih sendiri.

Ketua Jabatan Otolaringologi di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM, Prof Madya Dr Mawaddah Azman berkata ramai yang tidak tahu sebenarnya peti suara juga memerlukan penjagaan sama seperti organ tubuh badan lain.

“Ramai yang tidak tahu kita perlu jaga suara. Kalau cakap mengenai jaga jantung, ramai yang tahu. Tetapi jaga suara, kesedaran itu masih rendah.

“Kebanyakan kata tiada masa untuk buat ujian saringan. Jadi hari ini kita datang, dan buat ujian saringan secara percuma kepada peserta,” katanya kepada pemberita.

Pakar dan Pensyarah Fakulti Perubatan UKM, Prof Madya Dr Mawaddah Azman

Beliau ditemui di Hari Suara Sedunia Sempena Muzakarah Pemegang Tauliah 2026 yang diadakan di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Program yang diadakan dengan kerjasama bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutan itu disertai seramai 130 peserta yang terdiri daripada penceramah bebas, bilal, imam serta guru agama sekitar Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Dr Mawaddah berkata, istilah suara buluh perindu yang dikaitkan dengan kemerduan suara seseorang individu sebenarnya mempunyai kaitan dengan kaedah menggunakan pita suara dengan betul.

Menurutnya, individu yang memiliki lontaran suara lunak adalah mereka yang bijak memanfaatkan organ lain di dalam mulut bagi mengurangkan tekanan terhadap pita suara.

“Suara buluh perindu ini bukan sekadar menggunakan pita suara dengan betul, yang bermaksud pita suaranya sihat, tetapi dia turut menggunakan rongga pernafasan atas dengan betul.

“Dia juga bukan sekadar menggetarkan pita suara semata-mata, tetapi (menggerakkan) lelangit lembut, lidah, yang digunakan secara betul supaya dapat mengurangkan tekanan kepada pita suara,” katanya.

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil bergambar  bersama perserta pada Hari Suara Sedunia sempena Muzakarah Pemegang Tauliah 2026 kepada peserta di Dewan Sarjana , Fakulti Pengajian Islam UKM Bangi pada 7 May 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Menurut Dr Mawaddah, lebih 50 peratus masalah suara berkait rapat dengan refluks yang didefinasikan sebagai kandungan makanan atau asid di dalam perut, yang naik semula ke esofagus atau sehingga ke bahagian kerongkong.

Justeru, pensyarah di Fakulti Perubatan UKM ini berkongsi petua penjagaan pita suara bagi memastikan ia sentiasa sihat dan berfungsi dengan baik, terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti guru, penyanyi dan ahli politik.

“Pertama, perlu kurangkan makanan pedas, berminyak dan kafein. Kafein mempunyai bahan kimia yang menyebabkan injap antara esofagus dan perut menjadi longgar. Apabila longgar, asid dalam perut boleh naik ke atas.

“Selain itu, perlu cukup minum air, tidur yang berkualiti antara tujuh hingga sembilan jam setiap hari, serta mengamalkan pemanasan suara,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.