Berbisik boleh jejaskan peti suara - pakar

30 Mei 2026, 1:46 AM
Berbisik boleh jejaskan peti suara - pakar

BANGI, 30 MEI: Berbisik atau bercakap dalam suara yang perlahan dilihat sebagai pilihan terbaik bagi orang yang mengalami sakit tekak ataupun mereka yang tidak mahu perbualannya didengari oleh orang lain.

Bagi mereka, perbuatan itu bukan sesuatu yang memudaratkan. Namun, menurut pakar, jika berbisik dijadikan amalan berterusan, perbuatan tersebut berisiko memberi kesan kepada peti suara.

Pakar bedah dan pensyarah klinikal di Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) Dr Nadhirah Mohd Shakri berkata ramai individu terkhilaf akan kesan penggunaan suara ketika berbisik.

“Ramai yang tidak tahu berbisik sebenarnya boleh memberi tekanan kepada peti suara. Ketika berbisik, individu cenderung menggunakan otot leher dan peti suara secara memaksa untuk menghasilkan bunyi walaupun tanpa suara normal.

“Jika dilakukan berulang kali atau dalam tempoh lama, keadaan ini boleh menyebabkan ketegangan pada peti suara dan mengganggu cara penghasilan suara yang sihat,” katanya kepada Bernama selepas program Latihan Penjagaan Suara Khusus untuk Muadzin sempena Hari Suara Sedunia 2026, di sini baru-baru ini.

Menurut Dr Nadhirah lagi, tekanan berterusan akibat penggunaan suara secara salah berisiko mendedahkan seseorang kepada masalah seperti disfonia ketegangan otot selain pembentukan ketulan pada peti suara seperti nodul, polip dan sista pita suara.

Beliau berkata tabiat menjerit atau bercakap terlalu kuat juga meningkatkan risiko kecederaan peti suara termasuk pendarahan kecil pada lipatan vokal yang boleh menyebabkan pembentukan polip.

“Sekiranya seseorang mengalami komplikasi seperti sista atau polip pada pita suara, pembedahan mungkin diperlukan. Namun prosedur pada peti suara juga berisiko menyebabkan parut yang boleh menjejaskan kualiti suara untuk jangka panjang.

“Justeru, saya mahu tekankan mencegah lebih baik daripada merawat. Pemeriksaan awal penting untuk mengesan sama ada seseorang mempunyai masalah suara atau menggunakan teknik suara yang salah,” katanya.

Dr Nadhirah berkata antara masalah paling kerap ditemukan dalam kalangan pesakit ialah refluks asid serta penggunaan suara secara tidak betul seperti menjerit, bercakap terlalu lama atau meneran ketika bersuara.

“Refluks bukan sekadar masalah pencernaan kerana asid juga boleh mengganggu peti suara dan menyebabkan simptom seperti suara serak, tekak rasa tidak selesa atau kerap berdehem,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya peka tanda awal gangguan suara termasuk suara serak yang berlarutan lebih dua minggu, suara cepat penat atau perlu meneran ketika bercakap sehingga menyebabkan bahagian leher terasa lenguh.

“Kalau suara serak lebih dua minggu, jumpa doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk pemeriksaan lanjut. Jangan hanya bergantung pada madu atau lemon tanpa mengetahui punca sebenar.

“Kita perlu melihat keadaan peti suara melalui pemeriksaan endoskopi kerana itu satu-satunya cara untuk menilai sama ada terdapat nodul, ketumbuhan atau gangguan lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan HCTM UKM Dr Nor Shahrina Mohd Zawawi menyarankan individu yang menggunakan suara secara intensif seperti guru, pensyarah, penceramah, jurulatih dan penyanyi agar mempelajari teknik penggunaan suara yang betul bagi mengelakkan kecederaan peti suara.

Beliau berkata penggunaan suara secara berlebihan tanpa teknik yang betul boleh menyebabkan keletihan suara, rasa tegang pada leher serta perubahan kualiti suara secara beransur-ansur.

“Ramai individu hanya mendapatkan rawatan apabila suara menjadi terlalu serak atau hilang sepenuhnya sedangkan tanda awal seperti cepat penat bercakap, perlu berdehem berulang kali atau rasa tidak selesa pada tekak juga menunjukkan peti suara sedang mengalami tekanan,” katanya.

Dr Nor Shahrina berkata amalan penjagaan suara yang baik termasuk memastikan pengambilan air mencukupi, mendapatkan rehat suara secukupnya serta mengurangkan penggunaan suara ketika mengalami batuk, sakit tekak atau jangkitan saluran pernafasan.

"Terapi pertuturan dan suara boleh membantu individu mempelajari teknik pernafasan, penghasilan suara dan penggunaan resonans yang lebih selamat serta efisien mengikut keperluan pekerjaan dan gaya hidup masing-masing," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.