Kontinjen Selangor optimis capai 54 emas pada SUKMA 2026

7 Mei 2026, 4:00 AM
Kontinjen Selangor optimis capai 54 emas pada SUKMA 2026
Kontinjen Selangor optimis capai 54 emas pada SUKMA 2026

SHAH ALAM, 7 MEI: Selangor meletakkan sasaran 54 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.

Ketua kontinjen, Abbas Azmi berkata keyakinan itu berasaskan prestasi semasa atlet yang menunjukkan peningkatan selain komitmen tinggi dalam latihan berterusan sejak SUKMA Sarawak.

Menurutnya, persiapan rapi serta keserasian pasukan menjadi sandaran utama untuk mencapai sasaran ditetapkan.

“Kita yakin sasaran 54 pingat emas dicapai dengan kerja kuat pasukan kerana mereka meneruskan latihan selepas SUKMA Sarawak…jika lebih ia bonus kepada kontinjen Selangor,” katanya.

Beliau ditemui pada program kunjungan bertemu atlet di Pusat Kecemerlangan Sukan di sini.

Tambahnya lagi, beliau akan membentangkan laporan setiap kunjungan bersama atlet kepada EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi dalam masa terdekat.

Ketua Kontinjen Selangor SUKMA 2026, Abbas Azmi bercakap kepada media ketika hadir dalam Lawatan Rasmi Chef de Mission (CDM) ke sesi latihan beberapa acara sukan tempur iaitu Silambam, Tinju, Karate, Pencak Silat dan Wushu sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2026 di Pusat Kecemerlangan Sukan, Seksyen 6, Shah Alam pada 6 May 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Saya akan maklumkan perkembangan atlet semasa latihan dan beberapa masalah kecil yang dihadapi. Buat masa ini, tiada isu besar dibangkitkan cuma sekadar sedikit masalah kecil berkaitan venue, namun telah selesai.

“Jika ada masalah, sudah pasti akan dibawa ke peringkat seterusnya tetapi buat masa ini belum ada lagi dan semua pihak berkuasa tempatan beri kerjasama,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Najwan memaklumkan kos penganjuran SUKMA Selangor 2026 dikurangkan hampir 50 peratus daripada peruntukan asal RM100 juta.

Pendekatan itu selaras usaha mengawal perbelanjaan tanpa menjejaskan fokus utama iaitu pembangunan atlet dan pencarian bakat baharu selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Pada 20 April lalu, Sultan Sharafuddin mencadangkan agar penganjuran temasya itu ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Baginda bertitah cadangan itu dibuat mengambil kira kos tinggi penganjuran temasya dwitahunan berkenaan dalam keadaan ekonomi semasa.

SUKMA kali ke-22 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.

Ketua Kontinjen Selangor SUKMA 2026, Abbas Azmi bergambar bersama atlet ketika hadir dalam Lawatan Rasmi Chef de Mission (CDM) ke sesi latihan beberapa acara sukan tempur iaitu Silambam, Tinju, Karate, Pencak Silat dan Wushu sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2026 di Pusat Kecemerlangan Sukan, Seksyen 6, Shah Alam pada 6 May 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.