Sultan Selangor kurnia watikah pelantikan 32 individu bagi jawatan agama, istana

6 Mei 2026, 5:49 AM
Sultan Selangor kurnia watikah pelantikan 32 individu bagi jawatan agama, istana
Sultan Selangor kurnia watikah pelantikan 32 individu bagi jawatan agama, istana
Sultan Selangor kurnia watikah pelantikan 32 individu bagi jawatan agama, istana

SHAH ALAM, 6 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 32 individu bagi pelbagai jawatan berkaitan pentadbiran agama dan istana dalam satu istiadat di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Mendahului senarai penerima ialah Kerabat Diraja Selangor, Yang Mulia (YM) Muhammad Faez Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang dilantik sebagai Orang Besar Istana.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengurniakan watikah pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohamad Onn Abd Aziz bagi sesi 2024 hingga 2026.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan watikah pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Sesi 2024-2026 kepada Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohamad Onn Abd Aziz dalam istiadat di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 6 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, empat individu dilantik sebagai anggota panel tetap Hakim Rayuan Syariah negeri iaitu Dato’ Mohd Amran Mat Zain, Dato’ Mohamad Shakir Abdul Hamid, Noor Hadina Ahmad Zabidi dan Dato’ Mohammad Adib Husain.

Lima lagi individu menerima pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor iaitu Abdul Shukor Abd Hamid, Siti Salwa Mohd Nor@Ghazali, Umamuddin Yunus, Marina Abdul Rahman dan Norul Aina Bahari.

Pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah negeri pula melibatkan empat individu iaitu Siti Noraini Mohd Ali, Siti Fatimah Ahmad Maulana, Aminullah Bahrin serta Nik Mohd Fitri Nik Yahaya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan watikah pelantikan Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor kepada Tan Sri Syed Zainal Syed Mohamed Tahir di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 6 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sultan Sharafuddin turut menyempurnakan watikah pelantikan untuk jawatan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah negeri kepada Abdul Hadi Umar, Puan Sri Kauthar Mohamad Banun dan Harun Hashim.

Pada masa sama, empat pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula menerima watikah pelantikan bagi jawatan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Pendaftar Kanan, Pendaftar Kanan merangkap Pendaftar Wali Raja serta Pendaftar Wali Raja.

Di samping itu, 10 individu turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) termasuk Pengerusinya, Tan Sri Syed Zainal Syed Mohamed Tahir dan Timbalannya, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Semua pelantikan itu dibuat selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (EPAINS) 2003.

Istiadat berkenaan disaksikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.