Murid darjah dua maut dilanggar depan sekolah: Pemandu van ditahan

6 Mei 2026, 12:05 AM
Murid darjah dua maut dilanggar depan sekolah: Pemandu van ditahan

SHAH ALAM, 6 MEI: Pihak polis telah menahan pemandu van yang terbabit kemalangan sehingga mengorbankan murid tahun dua, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, dekat Parit Sulong, Batu Pahat, tengah semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pemandu itu ditahan sejurus insiden tersebut berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Jelasnya, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika van dipandu lelaki itu bergerak keluar dari dalam kawasan sekolah setelah selesai menghantar barang.

"Ketika bergerak keluar melalui pintu pagar utama, van itu melanggar mangsa yang sedang berjalan di hadapan pintu terbabit.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa yang parah pada bahagian kepala dan organ dalaman, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong," katanya menerusi kenyataan.

Shahrulanuar Mushaddat berkata siasatan dijalankan atas kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Jenazah Nur Aini Umairah, 8, selamat dikebumikan bersebelahan pusara neneknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa, Parit Sulong, jam 8.35 malam tadi.

Suasana hiba menyelubungi majlis pengebumian yang dihadiri ratusan orang meliputi ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung.

Malah ibunya, Asmilah Tukiran, 37, dilihat beberapa kali hampir pengsan sejak menunggu di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), bagi menuntut jenazah anak sulung daripada dua beradik itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.