Suspek bunuh warga emas dipercayai di bawah pengaruh alkohol

5 Mei 2026, 3:04 PM
Suspek bunuh warga emas dipercayai di bawah pengaruh alkohol

SERI ISKANDAR, 5 MEI: Suspek kes bunuh wanita warga emas ditemukan dengan beberapa kesan tetakan di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, Ipoh, semalam, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata beberapa tin bir turut ditemukan ketika suspek lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di lokasi kejadian.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan saya dimaklumkan walaupun suspek dan mangsa berjiran, mereka dipercayai tidak mengenali antara satu sama lain kerana tinggal di lorong berbeza.

“Suspek juga difahamkan pernah mendapatkan rawatan psikiatrik di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjong Rambutan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran ‘Module On The Current Trends of Commercial Crimes’ di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Hisam turut menggesa individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu pihak polis menyelesaikan kes berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata mangsa berusia 70 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dengan kejadian dipercayai berlaku antara jam 4.45 petang hingga 10 malam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.