KUALA LUMPUR, 5 MEI: Keadaan kesihatan awam di Gaza semakin merosot dengan peningkatan ketara penyakit kulit parasit seperti kudis buta dan cacar air yang disebabkan oleh tahap sanitasi yang lemah, kekurangan air dan sekatan berterusan terhadap bantuan kemanusiaan.
Laporan situasi mingguan Pusat Komunikasi Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri Palestin berkata kes kudis buta dan cacar air meningkat tiga kali ganda dari bulan Januari hingga Mac.
“Pihak berkuasa pendudukan Israel masih menggunakan air sebagai senjata, sekali gus menghalang hak asas rakyat Palestin di Gaza terhadap akses kepada air dan memburukkan lagi penderitaan mereka dalam satu bentuk hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin,” menurut laporan itu.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa kira-kira 1.4 juta penduduk di kawasan penempatan sementara di seluruh Semenanjung Gaza tinggal dalam tempat perlindungan yang sesak, yang diburukkan lagi dengan kehadiran haiwan perosak seperti tikus, penularan kes jangkitan kulit dan kutu serta pelbagai masalah kesihatan lain.
Selain itu, menurut Biro Statistik Pusat Palestin, keadaan ekonomi di Semenanjung Gaza sangat membimbangkan dengan pasaran buruh hampir lumpuh sepenuhnya manakala kadar pengangguran melonjak kepada sekitar 68 peratus pada suku keempat 2024, berbanding 45 peratus sebelum pencerobohan Israel.
Menurut laporan itu juga, serangan terhadap paderi Kristian dan institusi keagamaan di Palestin turut meningkat minggu ini, selain peningkatan insiden rampasan pelbagai barangan peribadi seperti senjata, barang kemas, selimut dan gambar peribadi milik penduduk oleh pasukan pendudukan Israel (IOF).
Memasuki hari ke 207 sejak perjanjian gencatan senjata pada Oktober lepas, Israel telah membunuh 830 rakyat Palestin, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan angka korban kepada 72,610 orang termasuk sekurang-kurangnya 21,283 kanak-kanak dan 172,448 cedera sejak 7 Okt, 2023 di Semenanjung Gaza.
Di Tebing Barat pula seramai 1,157 orang termasuk 241 kanak-kanak dilaporkan terkorban, 12,245 cedera dan lebih 9,600 ditahan.








