SHAH ALAM, 5 MEI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melaksanakan 101 projek melibatkan peruntukan RM2.69 bilion pada tahun ini, kata Pengarahnya Ir Shukri Ishak.
Beliau berkata pelaksanaan itu merangkumi 70 projek persekutuan dan 31 projek negeri, melibatkan kerja pengubahsuaian, pembinaan bangunan, pembinaan jalan raya serta naik taraf simpang.
Menurutnya, antara projek utama termasuk pengubahsuaian dan pembinaan bilik darjah baharu bagi 102 sekolah berkepadatan tinggi menerusi peruntukan Kementerian Pendidikan.

“Projek pengubahsuaian juga turut melibatkan pembinaan bilik darjah baharu bagi 102 sekolah berkepadatan tinggi yang mana kita terima peruntukan daripada Kementerian Pendidikan.
“Buat masa ini, kita telah keluarkan 41 sebut harga dan menyasarkan semua bilik darjah tahun satu ini siap dibina menjelang akhir tahun ini,” katanya ditemui pada majlis perasmian Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian kompleks berkenaan.
Majlis sama turut menyaksikan pelancaran program Gagasan Rumpun Selangor edisi kedua yang bertujuan memperkukuh perpaduan dan sistem kemasyarakatan di negeri ini.

Kompleks baharu JKR Selangor yang dibina dengan kos RM36 juta itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk parkir bumbung solar, bengkel kenderaan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, dewan, bilik mesyuarat, makmal komputer dan surau.
Dalam pada itu, Shukri memaklumkan empat pejabat JKR daerah akan turut menggunakan teknologi solar sebagai inisiatif penjimatan tenaga serta pengurangan jejak karbon.
“Selari dengan dasar tenaga hijau, penggunaan teknologi solar di kompleks ini berjaya mencatat penjimatan bil elektrik sebanyak RM128,000 sepanjang tahun lalu.
“Oleh itu, kita akan perluaskannya ke empat pejabat JKR lagi pada tahun ini. Setakat ini, kita sedang kenal pasti dan buat penilaian daerah mana yang akan menggunakan teknologi ini dahulu,” katanya.








