Selangor berpotensi muncul hab aeroangkasa di Asia Tenggara

4 Mei 2026, 2:53 PM
Selangor berpotensi muncul hab aeroangkasa di Asia Tenggara
Selangor berpotensi muncul hab aeroangkasa di Asia Tenggara
Selangor berpotensi muncul hab aeroangkasa di Asia Tenggara

SHAH ALAM, 4 MEI: Selangor berpotensi muncul sebagai hab aeroangkasa utama di Asia Tenggara dengan lebih 67 peratus pemain industri sektor itu kini berpusat di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha mengaktifkan semula Kompleks Impactable Vintage Property (IVP) di Subang sebagai fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) merupakan langkah strategik memperkukuh kedudukan tersebut.

Menurutnya, inisiatif itu selari dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Selangor 2020–2030 yang menjadi pemacu pertumbuhan sektor berkenaan.

“Pengoperasian fasiliti seperti hangar dan Engine Ground Run (EGR) Bay akan meningkatkan keupayaan industri tempatan serta daya saing negara di peringkat serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kompleks IVP di Subang hari ini.

Turut hadir EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han serta Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah, Datuk Hisham Hamdan bersama wakil industri.

Mengulas lanjut Amirudin berkata kehadiran pemain industri seperti GE Engine Services Malaysia (GEESM), Malaysia Aviation Group Engineering Services (MABES) dan BMM membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Subang sebagai pusat aeroangkasa global.

Beliau berkata, selain Subang, Sepang juga dikenal pasti sebagai lokasi utama dalam memperkukuh ekosistem aeroangkasa negeri.

Amirudin menjelaskan Subang yang mempunyai sejarah panjang dalam industri penerbangan perlu disegarkan semula agar kekal relevan dengan perkembangan semasa.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kawasan berkenaan terus menjadi pemacu utama dalam industri aeroangkasa negara.

“Subang perlu diberi nafas baharu supaya kekal relevan dan terus menyumbang kepada pembangunan industri ini,” katanya.

Beliau menambah, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan menyeluruh Kerajaan Negeri bagi memperkukuh sektor strategik dan berimpak tinggi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.