KPDN tumpas cubaan seludup diesel di tanah perkuburan Cina, sita hampir 3,000 liter

4 Mei 2026, 8:31 AM
KPDN tumpas cubaan seludup diesel di tanah perkuburan Cina, sita hampir 3,000 liter

JITRA, 4 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menumpaskan cubaan memindahkan diesel secara haram di kawasan lapang berhampiran tanah perkuburan di Sungai Pasir di Sungai Petani, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kedah Zalina Aziz berkata semasa serbuan pada 2 petang itu, pihaknya mendapati aktiviti pemindahan diesel daripada lori kargo ke dalam lori tangki sedang dilakukan.

“Serbuan ini hasil risikan dua minggu oleh anggota risik KPDN, dua lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an yang sedang memindahkan diesel daripada lori kargo yang mempunyai tangki intermediate bulk container (IBC) di bahagian belakang ke dalam lori tangki telah ditahan.

“KPDN turut menyita diesel kira-kira 2,900 liter bernilai RM44,848. Turut disita satu lori kargo, satu lori tangki, dua tong IBC serta peralatan digunakan untuk memindahkan minyak, dan jumlah keseluruhan sitaan RM165,248,” katanya pada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang permit atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan berkenaan.

“Kita percaya mereka ini merupakan sindiket sama dengan tangkapan yang dibuat pada awal April lepas. Kemungkinan mereka ini mengumpul minyak dari stesen minyak berlainan dan ada potensi ia akan dijual kepada pihak industri yang lain.

Zalina berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya memandang serius keperluan untuk memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan melalui pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilancarkan sejak 16 Mac lepas.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan, dan orang awam dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat atau aduan melalui aplikasi WhatsApp menerusi talian 019-8488000, hotline 1-800-886-800 atau portal aduan e-aduan@kpdn.gov.my,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.