SHAH ALAM, 3 MEI: Mayat kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum yang dilaporkan hilang dibawa arus selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur ditemui di Sungai Langat, jam 12.17 tengah hari, hari ini.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Syariman Wan Salleh berkata mayat kanak-kanak berusia sembilan tahun itu ditemui pada jarak 11 kilometer dari lokasi dilaporkan jatuh.
“Mangsa telah ditemui oleh anggota PPDA Bomba yang menaiki bot menyusuri Sungau Langat. Ayah dan ibu mangsa telah buat pengecaman di lokasi.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditutup pada jam 1.35 tengah hari,” katanya.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang Izman Adnan memaklumkan SAR kanak-kanak itu yang memasuki hari ketiga hari ini, diteruskan dengan radius pencarian diperluas hingga ke Sungai Langat.
Pada 1 Mei, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola yang terjatuh, sebelum dihanyutkan arus deras.
Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 7.08 malam.









