SHAH ALAM, 3 MEI: Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Institusi Diraja khususnya melibatkan imej Sultan, disifatkan sebagai tindakan biadab yang semakin membimbangkan.
EXCO Perpaduan, Dato’ Rizam berkata perbuatan melampau itu jelas mencabar nilai kesetiaan kepada raja dan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.
“Institusi Diraja bukan bahan jenaka, bukan alat politik murahan dan bukan ruang untuk eksperimen digital yang melampaui batas.
“Sebarang bentuk suntingan, manipulasi atau penyebaran kandungan palsu melibatkan Sultan adalah tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina, memfitnah atau mencipta naratif palsu, sebaliknya setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap kandungan yang dihasilkan dan dikongsikan.
Menurutnya, penggunaan AI tanpa kawalan kini membuka ruang lebih luas kepada penyebaran fitnah yang sukar dibendung, sekali gus berpotensi mencetuskan kekeliruan, ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.
“Lebih membimbangkan, ia boleh merebak dengan pantas dan memberi kesan kepada keharmonian, khususnya di Selangor,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya bertindak segera, tegas dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Jika perkara ini terus berulang, sudah tiba masanya langkah lebih tegas diambil termasuk memperkukuh undang-undang berkaitan penyalahgunaan teknologi digital dan AI bagi melindungi institusi negara serta keharmonian rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menghormati Institusi Diraja, menolak budaya fitnah serta tidak terlibat dalam penyebaran kandungan yang boleh merosakkan perpaduan.
Sebelum ini, tular di media sosial hantaran yang menyunting imej khinzir memakai pakaian adat istana dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Terbaharu, turut tular imej berunsur AI yang memaparkan Sultan Selangor tidak memakai baju sambil memegang permainan air.
Hari ini, Majlis Agama Islam Selangor menyifatkan kedua-dua insiden itu sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan didakwa sengaja dilakukan bagi melukakan perasaan umat Islam di Selangor.
Pengerusinya, Dato’ Salehuddin Saidin berkata kandungan tersebut bukan sahaja tidak menghormati kedudukan Baginda sebagai Ketua Agama Islam, malah mengaitkan institusi berkenaan dengan imej dan unsur yang bertentangan dengan hukum syarak serta melampaui norma masyarakat.
EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu pula menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti semula penggunaan internet dan aplikasi digital yang berpotensi disalah guna sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
Semalam, EXCO Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah turut menyifatkan tindakan berterusan menghina Institusi Kesultanan Selangor sebagai biadab dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.








