SHAH ALAM, 3 MEI: Ahli politik di negara ini diingatkan agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan tercetusnya ketegangan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
EXCO Sumber Manusia dan Perpaduan Selangor, V. Papparaidu berkata perbezaan pandangan dalam sistem demokrasi adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya melampaui batas sehingga mencetuskan polemik yang tidak perlu.
Menurutnya, isu seperti sambutan Songkran dan penganjuran pesta air wajar dilihat dalam konteks kepelbagaian budaya serta usaha memperkukuh perpaduan.
“Apabila program seperti ini dianjurkan di negeri lain seperti Kedah, ia tidak menjadi isu besar. Namun apabila dilaksanakan di peringkat Persekutuan, ia dipersoalkan dan dipolitikkan secara berlebihan.
“Perkara seperti ini tidak perlu diperbesarkan. Biarlah pihak berkuasa dan agensi berkaitan termasuk polis serta jabatan kerajaan menjalankan tugas mereka secara profesional,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, ahli politik juga tidak perlu campur tangan dalam setiap isu sehingga menimbulkan polemik yang tidak membawa manfaat, terutama berkaitan perpaduan kaum.
Semua pihak perlu mengelakkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham serta menggugat keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan budaya. Setiap perayaan dan amalan budaya perlu dihormati serta diraikan dalam semangat saling memahami,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghentikan polemik yang tidak perlu dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan, bukannya menimbulkan perpecahan.








