Kurikulum prasekolah perlu diselaras, elak jurang pendidikan

1 Mei 2026, 12:30 PM
Kurikulum prasekolah perlu diselaras, elak jurang pendidikan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kurikulum prasekolah di semua institusi kerajaan dan swasta perlu diseragamkan bagi memastikan kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang setara, menurut pakar pendidikan Profesor Datin Dr Mariani Md Nor.

Pemangku Naib Canselor Universiti SEGi itu berkata cadangan tersebut antara tujuh resolusi yang dikemukakan beliau pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata ketika ini, terdapat pelbagai kategori tadika seperti KEMAS, Perpaduan dan swasta yang menggunakan kurikulum berbeza sedangkan perbincangan menyeluruh telah dilakukan semasa merangka kurikulum prasekolah kebangsaan.

"Apa kata kita seragamkan kurikulum tersebut dan hapuskan 'kasta' dalam pendidikan prasekolah," katanya semasa menjadi panel Sesi 3: Memperkasa Pendidikan Prasekolah.

Mariani turut menyarankan agar kerajaan mengangkat martabat guru prasekolah sebagai profesion rasmi, menyamai sistem pendidikan luar negara yang meletakkan kerjaya itu di peringkat tinggi termasuk sehingga ke tahap kedoktoran.

Beliau turut mencadangkan agar pemantauan kompetensi guru dilakukan secara berterusan dan pengukuhan sistem sokongan ibu bapa terutama bagi kanak-kanak yang memerlukan perhatian khusus.

"Justeru, perlu ada pengukuhan sistem intervensi supaya anak-anak ini dapat dikesan di peringkat awal dan membolehkan kita membimbing mereka sama seperti kanak-kanak normal," katanya.

Mariani juga menyarankan pelaksanaan pendidikan bersepadu melalui kaedah Pengetahuan Kandungan Pedagogi Teknologi menggunakan teknologi maklumat di samping menekankan persekitaran pembelajaran inklusif dan berkualiti.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.