PM: Kerajaan ambil langkah perlu hadapi ketidaktentuan ekonomi global

1 Mei 2026, 7:51 AM
PM: Kerajaan ambil langkah perlu hadapi ketidaktentuan ekonomi global
PM: Kerajaan ambil langkah perlu hadapi ketidaktentuan ekonomi global

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kerajaan akan terus mengambil langkah perlu dalam berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keadaan ekonomi global menjadi lebih mencabar pada bulan ini berbanding tiga bulan lalu iaitu pada Februari.

"Pada akhir Februari, harga minyak mentah berada pada US$70 setong...hari ini (harga telah melonjak) kepada US$115 dolar setong. Lonjakan ini terlalu tinggi, maknanya kesan (ketidaktentuan) ekonomi itu (turut dirasai) di seluruh dunia.

"Ada (kekurangan) bahan-bahan bagi yang bekerja di ladang, seperti kekurangan fosfat dalam masa singkat, selain harga diesel naik. Mereka yang bekerja di kilang, yang bawa lori...semuanya terkesan," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan serta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Menjelaskan selanjutnya, Anwar berkata Malaysia juga masih mengekalkan harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter meskipun kebanyakan negara pengeluar minyak lain telah menaikkan harga.

"Sebab itu saya minta golongan pekerja faham sebab apa saya berkeras kekalkan harga minyak pada harga RM1.99 seliter.

"Tekanan daripada pakar ekonomi, golongan korporat semua mencadangkan (kepada saya) agar menjadi realistik. (Oleh itu) saya realistik, jaga ekonomi negara, jaga rakyat, tetapi saya juga turut renungkan bagaimana nasib golongan pekerja terutama di peringkat bawahan," kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga menerusi Kementerian Kewangan telah mengumumkan tambahan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas susulan krisis bekalan global berikutan perang Amerika Syarikat dan Iran di Asia Barat.

Kerajaan juga melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan sejumlah RM5 bilion bagi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS yang menjadikan keseluruhannya RM10 bilion untuk membantu meringankan beban PMKS yang terjejas susulan krisis berkenaan.

"Ini kerana jumlah pekerja di syarikat PMKS ini terlalu ramai...mereka menjadi kekuatan menjana pertumbuhan ekonomi negara," kata Anwar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.