SHAH ALAM, 30 APRIL: Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum menahan pemandunya yang bertindak melanggar kenderaan polis di Tepi Sawah, Jalan Masjid Tok Che Dol, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan mempunyai 13 rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.57 petang, polis terpaksa melepaskan tembakan ketika cuba menahan lelaki berkenaan.
"Kejadian bermula apabila polis mengesan kenderaan jenis Isuzu D-Max dalam keadaan mencurigakan sebelum suspek bertindak melarikan diri.
"Pihak polis mengejar kenderaan itu sehingga ke kawasan sawah sebelum suspek tiba-tiba memberhentikan kenderaan dan bertindak agresif mengundurkan kenderaan pada kelajuan tinggi sehingga melanggar hadapan kenderaan polis.
"Walaupun diarahkan keluar, suspek enggan memberi kerjasama dan terus cuba melanggar anggota dengan mengundurkan kenderaan beberapa kali," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Haki berkata, bagi mempertahankan diri, pegawai serbuan mengarahkan seorang anggota melepaskan tembakan ke arah tayar kiri dan kanan belakang kenderaan suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.








