Polis buru suspek bakar dua kenderaan di Klang

30 Apr 2026, 12:30 AM
Polis buru suspek bakar dua kenderaan di Klang

SHAH ALAM, 29 APRIL: Polis sedang mengesan suspek disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan membakar dua kenderaan milik seorang pengimpal di sebuah kawasan perumahan di Kapar, Klang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata dalam kejadian 12.12 tengah malam itu mangsa berusia 55 tahun menyedari kejadian berkenaan setelah terdengar bunyi letupan, sebelum mendapati keretanya dijilat api.

“Api bagaimanapun berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan jiran. Kejadian ini mengakibatkan kedua-dua kenderaan mengalami kesan terbakar sebanyak 30 peratus.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat lelaki menaiki dua motosikal telah memecahkan cermin kenderaan dan menyimbah minyak petrol, sebelum membakar kedua-dua kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vijaya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, selain mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menerusi talian 03-3291 2222 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tular melalui media sosial rakaman CCTV berdurasi 57 saat yang memaparkan empat individu bertopi keledar dan pelitup muka bertindak mencurah petrol ke atas dua kenderaan di hadapan sebuah kediaman sebelum bertindak membakar kenderaan terbabit.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.