Pelajar tingkatan satu cedera dipukul, enam remaja ditahan

30 Apr 2026, 12:24 AM
Pelajar tingkatan satu cedera dipukul, enam remaja ditahan

SHAH ALAM, 30 APRIL: Enam pelajar ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian rusuhan sehingga mencederakan seorang pelajar Tingkatan Satu berhampiran pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pekan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata mangsa berusia 13 tahun mengalami kecederaan pada pipi kanan akibat kejadian itu.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5 petang dan dipercayai berpunca daripada isu hutang.

“Sebelum kejadian, mangsa pergi ke sebuah pondok berhampiran pejabat MUIP untuk bertemu seorang pelajar. Setibanya di lokasi, berlaku pertengkaran sebelum seorang pelajar bertindak menolak, menumbuk dan menendang mangsa.

“Beberapa individu lain yang berada di tempat kejadian turut sama memukul mangsa. Insiden itu disaksikan orang awam dan dirakam sebagai keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pekan.

“Bertindak atas maklumat, enam pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan kira-kira jam 1.30 pagi tadi bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147/507D Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi satu minit 12 saat memaparkan seorang remaja lelaki mencederakan seorang pelajar lain.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.