SHAH ALAM, 23 APRIL: Kehilangan kaki kiri akibat kemalangan jalan raya tidak mematahkan semangat seorang kakitangan Kerajaan Negeri apabila kini mampu bergerak lebih mudah hasil sumbangan kerusi roda elektrik daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Aminuddin Mohd Supian, 37, berkata kejadian yang berlaku pada Ogos tahun lalu di Lebuhraya Guthrie mengubah kehidupannya selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah treler yang diparkir di bahu jalan.
Menurutnya, insiden tersebut menyebabkan beliau kehilangan sebelah kaki selepas menjalani rawatan selama sebulan di hospital.
“Saya terlibat kemalangan dengan treler yang parkir di tepi jalan dan akibatnya kehilangan sebelah kaki selepas sebulan dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Kini bertugas di Balai Penghulu, Pembangunan Luar Bandar Rawang, Aminuddin memberi tumpuan kepada proses pemulihan termasuk menjalani fisioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Beliau juga berulang-alik ke hospital dengan memandu sendiri, selain berusaha menguruskan kehidupan harian secara berdikari.
“Sekarang saya fokus fisioterapi dan banyak urusan harian saya lakukan sendiri walaupun sebelum ini isteri banyak membantu,” katanya.
Aminuddin menjelaskan sumbangan kerusi roda elektrik banyak membantu memudahkan pergerakan terutama untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Saya bersyukur kerana bantuan ini meringankan beban dan memudahkan pergerakan, lebih-lebih lagi untuk ulang-alik ke hospital,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak yang prihatin terhadap kebajikannya walaupun baru diserap ke jawatan tetap.

Sementara itu, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan tersebut disalurkan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai keadaan mangsa daripada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak.
Menurutnya, sumbangan kerusi roda elektrik itu diluluskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Zakat Wakalah MBI dan mampu menampung berat sehingga 200 kilogram.
“Kami akan terus membantu rakyat Selangor dan memastikan bantuan yang disalurkan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.










