Hantaran hina Sultan Selangor dikecam, pelbagai pihak desak hukuman tegas

29 Apr 2026, 1:15 AM
Hantaran hina Sultan Selangor dikecam, pelbagai pihak desak hukuman tegas
Hantaran hina Sultan Selangor dikecam, pelbagai pihak desak hukuman tegas
Hantaran hina Sultan Selangor dikecam, pelbagai pihak desak hukuman tegas

Hantaran tular di media sosial yang menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencetuskan kecaman meluas pelbagai pihak termasuk daripada Ahli Dewan Diraja Selangor.

Sehingga kini, pelbagai pihak telah membuat laporan polis termasuk pentadbiran negeri, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendesak siasatan dijalankan serta pelaku dikenakan hukuman setimpal.

Hantaran yang didakwa dimuat naik menerusi akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre, turut mendapat reaksi EXCO Pelaburan Ng Sze Han yang menyeru tindakan tegas dan hukuman berat dikenakan terhadap pelaku selaras peruntukan undang-undang negara.

Barisan EXCO Kerajaan Selangor desak siasatan segera

Mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu, beliau menyifatkan perbuatan menyamakan manusia dengan sifat binatang sebagai biadab dan melanggar norma dan tatasusila sebagai rakyat Malaysia.

Kenyataan Sze Han turut disokong barisan EXCO Kerajaan Selangor lain yang senada menuntut tindakan segera diambil.

Antara yang bersuara ialah EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah, EXCO Perpaduan Dato’ Rizam Ismail, EXCO Sukan Najwan Halimi, EXCO Sumber Manusia V Papparaidu serta EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim.

Presiden Majlis Belia Selangor (MBS) Datuk Imran Tamrin pula menggesa pertubuhan belia tampil membuat laporan polis sebagai isyarat tegas bahawa mereka tidak akan berdiam diri apabila kedaulatan dan kehormatan institusi diraja dicabar.

Pelbagai pihak lapor polis, Amirudin jumpa Fahmi

Susulan kontroversi itu, beberapa laporan polis telah dibuat termasuk oleh Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shaifuddin Shafi Muhammad di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

Mewakili pentadbiran negeri, beliau mendesak siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505B dan 505C Kanun Keseksaan kerana hantaran tersebut berunsur hasutan kebencian, penghinaan terhadap institusi diraja serta berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Ahli Dewan Diraja Selangor yang diketuai Dato’ Setia Salehuddin Saidin bersama Tan Sri Dato’ Setia Zawawi Salleh, Dato’ Setia Khusrin Munawi, Dato’ Setia Haris Kasim dan Dato’ Setia Tamyes Abdul Wahid turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi menuntut tindakan tegas.

Sementara itu, Persatuan The Huayan Pureland Buddhist yang dikaitkan dengan hantaran berkenaan turut membuat laporan polis, mendakwa berlaku penyalahgunaan nama dan akaun Facebook serta menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengambil langkah proaktif dengan bertemu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bagi menyatakan pendirian kerajaan negeri supaya tindakan tegas diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), selain memantau rapi perkembangan siasatan

Siasatan polis, SKMM

Berikutan kes berprofil tinggi itu, siasatan dijalankan oleh Bukit Aman. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk M. Kumar memaklumkan hantaran yang dimuat naik pada 25 April lalu kini dipantau rapi pihak berkuasa.

Setakat kelmarin, sebanyak 21 laporan polis telah diterima daripada pelbagai pihak. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, SKMM turut merakam keterangan seorang lelaki yang merupakan pentadbir akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre. Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.